'MARC Marquez Simpan 'Taring' Di Sepang'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/17/20241 min read
MARC Marquez tidak mengerah sepenuh kemampuannya di Sepang ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024, dakwa Pengurus Pasukan Ducati Lenovo, Davide Tardozzi.
Tiba di Sepang sebagai pelumba 'rookie' Ducati, catatan yang dilakukan oleh juara dunia enam kali MotoGP, Marquez boleh dianggap baik selepas merekod masa ke-6 terpantas keseluruhan.
Catatan yang dilakukan oleh pelumba pasukan satelit Ducati, Gresini Racing itu juga mengagumkan, 1:57.270 saat dengan menggunakan jentera spesifikasi 2023.
Sekalipun catatan itu hampir setengah saat lebih perlahan +0.588s berbanding catatan terbaik dan rekod 1:56.682s yang dilakukan Pecco Bagnaia, tetapi bagi Tardozzi, beliau percaya pelumba kelahiran Sepanyol itu masih belum menunjukkan potensi sebenarnya.
“Dia (Marc) adalah juara dunia lapan kali," kata Tardozzi memetik laporan Crash.net. "Marc adalah Marc Marquez! Salah seorang juara terhebat dalam sejarah.
"Saya percaya dia menunggu masa. Dia tidak menunjukkan siapa dia yang sebenar. Dia akan menggunakan masa yang dia perlukan untuk menunggang jentera itu di tahap paling maksimum.
"Apa yang dilakukan oleh Marc lebih tinggi berbanding apa yang kita lihat di Malaysia," katanya.
Selain Tardozzi, beberapa penganalisis turut menyuarakan pandangan sama terhadap Marquez yang menjadi antara pelumba paling rajin ketika di Sepang.
Ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 akan diteruskan di Qatar pada 19 dan 20 Februari ini sebelum kempen membuka tirainya di litar sama pada 8 Mac depan.