MARC Marquez Syukur Kepercayaan Diberikan Ducati Corse

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/5/20241 min read

MARC Marquez mendedahkan dia sudah menetapkan yang destinasi seterusnya di MotoGP adalah pasukan 'kilang' Ducati Lenovo sejurus jentera Desmosedici GP ditunggangnya pada tahun lalu.

Juara dunia lapan kali itu membuat kejutan dengan meninggalkan kontrak bernilai jutaan ringgit apabila berpisah dengan pasukan Repsol Honda pada musim lalu untuk menyertai pasukan satelit Gresini Ducati.

Dan 'pengorbanan' yang dibuatnya jelas berbaloi apabila dia tidak memerlukan masa panjang untuk menyesuaikan dengan jentera Desmosedici GP sekalipun ia bukan spesifikasi terkini.

Selepas tujuh pusingan, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya meyakinkan Ducati Corse untuk memilihnya berbanding seorang lagi pelumba yang dianggap cukup layak, Jorge Martin.

"Saya amat gembira untuk dapat menggunakan warna merah pasukan 'kilang' Ducati di MotoGP musim depan," kata Marquez yang menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Ducati Corse bagi musim 2025 dan 2026.

"Secara asasnya, sejak pertama kali saya menyentuh Desmosedici GP, saya menikmati menunggangnya dan menyesuaikan diri dengan baik serta merta.

"Sejak daripada itu, saya tahu yang sasaran saya adalah untuk meneruskan dengan laluan ini, untuk terus meningkat, dan berpindah ke pasukan di mana Pecco Bagnaia sudah menjadi juara dunia untuk dua tahun berturut-turut.

"Saya gembira untuk berjaya mengambil langkah yang besar ini pada 2025 dan bersyukur dengan kepercayaan yang Ducati letakkan kepada saya," kata Marquez yang akan bergandingan dengan Francesco Bagnaia bermula musim depan.

Selepas kali terakhir menjulang gelaran dunia bersama Repsol Honda pada 2029, Marquez berdepan kemalangan ngeri pada musim 2020 yang membelenggu prestasinya dan turut dikeruhkan dengan penurunan prestasi Honda.

Selepas tujuh pusingan musim ini, Marquez yang menunggang jentera Ducati GP24 berjaya menaiki podium dalam tiga perlumbaan MotoGP dan sekalipun masih belum menang, status yang dimilikinya sebagai juara dunia enam kali MotoGP jelas tidak boleh diketepikan Ducati Corse.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Nadia () Carlo, Michele, dan keseluruhan keluarga Gresini Racing atau peluang yang pasukan mereka berikan kepada saya ketika masa yang sukar dalam karier saya," katanya.

"Kini kami akan meneruskan kegembiraan ini dan memberikan segala-gala yang kami miliki untuk musim ini, yang juga menjadi keutamaan saya ketika ini," katanya.