MARC Marquez Tabik Davide Tardozzi

Marc Marquez, sekali pun memakai lencana Ducati Lenovo di Mugello tetap diejek segelintir penyokong tuan rumah ketika Grand Prix (GP) Itali 2025 ketika mencatat kemenangan bergaya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/25/20251 min read

KEMENANGAN bergaya dengan memakai lencana Ducati Lenovo jelas tetap tidak dapat menghalang juara dunia enam kali MotoGP, Marc Marquez daripada diejek segelintir penyokong tuan rumah ketika Grand Prix (GP) Itali 2025, minggu lalu.

Dan situasi itu jelas mencetus berang pengurus Ducati Lenovo, Davide Tardozzi yang tampil mempertahankan pelumbanya itu.

Berdasarkan rakaman, Tardozzi dilihat melakukan konfrontasi dengan peminat di kawasan tempat duduk penonton dan memberikan isyarat ‘tutup mulut’ kepada mereka yang mengejek Marc dan adiknya Alex Marquez.

Justeru tindakan Tardozzi itu cukup dihargai juara dunia lapan kali itu.

"Pada akhirnya, ia adalah sesuatu yang kami tidak boleh kawal," kata Marquez ketika sidang media selepas perlumbaan.

"Saya tidak boleh mengawalnya. Tetapi saya amat menghargai tindakan daripada Davide Tardozzi, yang cuba mengawalnya.

"Davide, pada akhirnya tidak mempertahankan saya, dia mempertahankan pelumba-pelumba Ducati. Ia boleh menjadi saya, Pecco (Francesco Bagnaia), (Enea) Bastianini, (Jack) Miller sebelum ini.

"Dia benar-benar pengurus yang baik, dan dia mempertahankan saya.

"Dia menyokong mereka yang bersorak untuk Pecco kerana pada akhirnya ia sesuatu yang bagus dan ia juga baik untuk pelumba-pelumba yang menjadi wira tuan rumah, mereka menyanyikan nama Pecco. Ini perkara yang bagus.

"Ejekan (Boo), pada akhirnya adalah sesuatu yang kami tidak boleh kawal.

"Tetapi hari ini (Ahad) sebagai contoh, apabila Alex naik ke podium dan segelintir mereka mengejeknya. Alex hanya namanya, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan."