MARC Marquez Tak Akan Fikir Dua Kali Jika Dapat Tawaran Honda
Juara dunia sembilan kali, Marc Marquez memulakan karier MotoGP bersama Honda pada 2013 dan meraih enam kejuaraan dunia sepanjang 11 musim sebelum membuat keputusan mengejut meninggalkan pengeluar Jepun itu pada 2023
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/10/20251 min read


PENGURUS berpengalaman di pentas MotoGP, Carlo Pernat percaya Marc Marquez tidak akan berfikir panjang jika mendapat tawaran daripada Honda untuk menyertai semula pasukan itu pada musim 2027.
Spekulasi mengenai masa depan juara dunia sembilan kali itu kembali hangat apabila kontraknya bersama Ducati Corse akan tamat pada tahun depan ketika kejuaraan itu bakal mengharungi perubahan besar pada musim 2027.
Marquez, 32, yang memulakan karier MotoGP bersama Honda pada 2013 dan meraih enam kejuaraan dunia sepanjang 11 musim sebelum membuat keputusan mengejut meninggalkan pengeluar Jepun itu pada 2023.
Langkah berani menyertai Gresini Ducati nyata membuahkan hasil apabila pelumba asal Sepantol itu kembali menemui rentaknya sebelum menambah koleksi kejuaraan dunia MotoGP ke-7 pada musim ini.
Menurut Pernat, memetik laporan Telenord , Honda tetap berada dalam hati Marquez dan jika pasukan itu terus meningkat secara teknikal dan mampu menawarkan sesuatu termasuk jentera kompetitif, ia akan memikatnya.
Malah Pernat juga percaya Honda 'akan melakukan apa saja' untuk mendapatkan Marquez semula.
"Pada pandangan saya, (Pecco) Bagnaia tidak mahukan pasukan lain selain Ducati, dia malah berkata demikian di Valencia yang dia mahu menamatkan karienya dengan memakai warna mereka," kata Pernat.
"Jelas jika satu lagi musim seperti ini adalah sesuatu yang tidak boleh difikirkan kerana, jika ia berlaku, ia jelas akan meletakkan tekanan terhadap perhubungan antara pelumba dan pasukan.
"Tetapi perlu diingat, Ducati memerlukan juara, atau sekurang-kurangnya mengambil risiko untuk mendapat salah seorang... Marc Marquez mungkin tidak memakai warna Ducati pada 2027.
"Honda berada dalam hati Marc Marquez, dan Alberto Puig akan melakukan apa saja untuk membawanya kembali ke garaj. Jika Honda terus meningkat secara teknikal, saya fikir pengeluar Jepun itu akan menawarkan sesuatu, dan Marc Marquez tidak akan berfikir dua kali jika mereka memberi jaminan kepadanya jentera yang kompetitif.
"Fikir seperti ini, ia adalah sesuatu yang bos-bos baharu MotoGP amat gemarkan, memandangan Liberty Media akan fokus kepada naratif itu.
"Awak tahu apa yang buat saya tersenyum? Bayangan pada tahun 2027, di garaj Honda mungkin ada Marc Marquez bersama adik kepada Valentino Rossi."

