MARC Marquez Tak Ambil Pusing Isu 7,9
Tindakan 'pelik' Dorna mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan, memandangkan MotoGP secara tradisinya mengiktiraf jumlah keseluruhan kejuaraan termasuk kelas 125 cc dan Moto2, gelaran yang turut dimiliki Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/25/20251 min read


JAGUH Ducati Lenovo, Marc Marquez, tampil tenang menjelang Grand Prix Jepun 2025 hujung minggu ini di sebalik spekulasi mengenai status gelaran dunia yang berkemungkinan besar bakal diraihnya di Motegi.
Laporan selepas GP San Marino mendedahkan bahawa Dorna Sports, yang kini di bawah pemilikan Liberty Media sudah menasihatkan penyiar di Jepun agar hanya merujuk Marquez sebagai juara dunia tujuh kali sekiranya dia berjaya menamatkan musim 2025 sebagai juara keseluruhan.
Langkah itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat dan pemerhati sukan, memandangkan MotoGP secara tradisinya mengiktiraf jumlah keseluruhan kejuaraan termasuk kelas 125 cc dan Moto2.
Marquez sebelum ini berjaya memenangi gelaran dunia pada 2010 (125 cc) dan 2012 (Moto2) yang menjadikan jumlah keseluruhan sembilan sekiranya berjaya menambah satu lagi kejuaraan hujung minggu ini.
Mengulas 'kemelut' itu, Marquez berkata: “Itu bukan di tangan saya. Bagi saya, yang paling penting adalah untuk terus menambah angka itu. Sama ada orang kira tujuh atau sembilan, saya tetap akan beri segalanya di atas litar.”
Pelumba berusia 32 tahun itu hanya perlu mengatasi adiknya, Alex Marquez dengan kelebihan tiga mata di Motegi untuk mengesahkan gelaran MotoGP musim ini.
Dengan 11 kemenangan perlumbaan dan 14 kemenangan sprint setakat ini, ramai menjangkakan gelaran akan menjadi miliknya.
Tetapi Marquez kekal realistik dan tidak terburu-buru malah menyifatkan jika gelaran itu tidak diperoleh di Jepun, ia bukan satu bencana.
"Kita masih ada lima peluang lagi,” katanya memetik laporan Crash.net.
Marquez turut menyatakan nilai kejuaraan kali ini lebih bermakna secara peribadi, memandangkan ia menutup kitaran pemulihan selepas kecederaan serius yang dihadapinya pada lima tahun lalu.
MotoGP setakat ini hanya menyebut tujuh gelaran utama Marquez dalam hantaran media sosial menjelang GP Jepun, menambah lagi tanda tanya mengenai pendekatan baharu Dorna terhadap pengiktirafan gelaran.
Marquez bagaimanapun menegaskan bahawa legasi sebenar bukan sekadar angka.
"Apa yang penting, orang ingat saya sebagai pelumba yang sentiasa beri segalanya di atas litar,” katanya.
