MARC Marquez Tak Fikir 'Cantas' Rekod Vale, Tempoh Sekarang Tak Realistik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/7/20231 min read

SELEPAS lebih dua tahun tanpa sebarang kemenangan di pentas MotoGP, Marc Marquez mengakui cubaan memecah rekod langsung tak bermain dalam fikirannya.

Bakal angkat kaki dari pasukan Honda ke Ducati musim depan, Marquez ketika ini mengumpul keseluruhan lapan kejuaraan dunia termasuk enam di MotoGP.

Kejayaan yang dicapai itu meletakkan pelumba kelahiran Sepanyol itu sebagai antara legenda MotoGP sebaris seorang lagi legenda, Valentino Rossi yang memiliki sembilan gelaran dunia.

Tetapi selepas memenangi gelaran terakhirnya pada musim 2019, Marquez berdepan beberapa siri nasib malang termasuk masalah kecederaan dan prestasi jentera.

"Ketika ini, saya tidak berfikir untuk menyamai rekod kerana saya jauh daripada tahap terbaik saya," kata Marquez dalam satu temuramah eksklusif bersama Crash.net di Buriram ketika ditanya motivasinya untuk mencantas rekod Rossi.

"Dan saya juga tidak boleh mengambil pendekatan sama pada musim depan seperti 'Saya akan cuba untuk menjulang kejuaraan'.

"Sudah dua tahun saya tidak memenangi sebarang perlumbaan. Jadi dengan statistik itu, kamu tidak boleh mengambil pendekatan yang sama untuk musim berikutnya.

"Pertama sekali, saya perlu mengembalikan semula keyakinan, membinanya daripada asas dan kemudian daripada dasar mula bergerak laju dan cuba untuk meningkat di masa depan."

Perpindahan Marquez pada musim depan menyaksikan dia berpotensi kehilangan wang yang cukup besar selain bergelar pelumba pasukan satelit Ducati, Gresini.

Berbaki tiga pusingan MotoGP 2023 termasuk Grand Prix Malaysia hujung minggu ini, pelumba berusia 30 tahun menghuni tangga ke-14 keseluruhan kedudukan pelumba selepas sekadar mengutip 81 mata.