MARC Marquez Tak Mahu Fikir Gelaran Dunia MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/4/20241 min read

MARC Marquez tampak makin serasi dengan jenteranya Ducati GP23 apabila cemerlang merangkul kemenangan berganda di Grand Prix (GP) Aragon 2024 namun kejayaan itu belum cukup membuatkannya mula berfikir mengenai gelaran dunia.

Kemenangan berganda di Aragon yang disifatkan sebagai 'laman sendiri' menyaksikan pelumba Gresini Ducati itu kini hanya dibezakan 70 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dari Pramac Ducati.

Kembali merampas kedudukan ketiga carta daripada pelumba Ducati Lenovo, Enea Bastianini sejurus aksi di Aragon berakhir, pelumba kelahiran Sepanyol itu juga ketinggalan 47 mata di belakang penyandang juara dunia, Francesco Bagnaia.

"Tidak, kami jauh," kata Marquez. "Kami mula kehilangan mata, lebih dan lebih dan lebih. Kami terlalu jauh. Dan ia bukan hanya ada seorang pelumba, tetapi dua pelumba yang mempunyai tahap konsisten lebih baik berbanding kami.

"Satu minggu tidak akan mengubah hidup kami. Sudah tentu, ia akan membantu kehidupan kami, tetapi ia tidak akan berubah. Kami terlalu jauh untuk bersaing bagi merebut kejuaraan dunia tahun ini.

"Tetapi kita akan melihat sama ada kami mampu untuk bersaing bagi kedudukan tiga terbaik. Ia adalah sasaran yang realistik. Masih ada banyak mata, banyak perkara yang akan berlaku, kerana kita tahu di Asia akan ada ribut, hujan, dan kamu tidak akan tahu.

"Tetapi kami akan terus menikmatinya, dan ini adalah perkara yang paling penting untuk saya, dan kami akan cuba untuk terus ke depan dan bersaing dengan pelumba-pelumba di depan."

Mengulas lanjut, bekas pelumba Repsol Honda itu mengakui tahap konsisten yang baik diperlukan untuk kekal bersaing namun menyifatkan situasi di Aragon adalah istimewa.

"Minggu ini terlalu baik, perasaannya menakjubkan. Tetapi kami juga perlu realistik kerana keadaannya adalah amat istimewa," kata juara dunia lapan kali itu.

"Saya rasakan, bagi saya, apa yang penting adalah di Red Bull Ring saya merasa cukup bagus dan saya berada hampir depan pelumba di depan. Di sini, nilai kemenangan itu amat tinggi dan kini kami akan cuba mencari konsistensi.

"Kami perlu memahaminya ketika perlumbaan, tetapi saya tahu saya akan tiba di satu-satu minggu di mana kami akan bergelut lebih daripada orang lain. Jadi konsisten ini akan menjadi perkara kedua."