MARC Marquez Tak Mampu Dicabar Di Sepang
Berlumba dalam keadaan cuaca panas terik, pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez yang memulakan perlumbaan di petak ke-2 pantas meletakkan dirinya di depan seawal pusingan pertama dan sekali pun cuba dicabar adiknya Alex Marquez, situasi itu tidak berubah sehingga penamat
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/1/20261 min read
JAGUH Ducati Lenovo, Marc Marquez seperti tak mampu dicabar apabila menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2026 dengan cara cukup dominan di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, hari ini.
Berlumba dalam keadaan cuaca panas terik, Marquez yang memulakan perlumbaan di petak ke-2 pantas meletakkan dirinya di depan seawal pusingan pertama dan sekali pun cuba dicabar adiknya Alex Marquez, situasi itu tidak berubah sehingga penamat.
Selepas dipintas abangnya, Alex dari Gresini Ducati yang memulakan perlumbaan di petak utama sekali lagi dipintas pada pusingan ke-10 kali ini oleh pelumba Red Bull KTM, Pedro Acosta.
Dan situasi itu kekal dengan Marquez melintasi bendera penamat dengan kelebihan selesa 4.172 saat (s) meninggalkan Acosta manakala Alex melengkapkan kedudukan podium.
Keputusan itu menyaksikan pelumba kelahiran Sepanyol itu meraih peluang keemasan pertamanya untuk merangkul gelaran dunia dunia MotoGP 2026.
Kemenangan ketujuh musim ini itu membolehkan Marquez melebarkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 44 mata di hadapan pencabar terdekat, Jorge Martin yang terpaksa melupakan perlumbaan di Sepang akibat kecederaan.
Jurang besar itu bermakna pelumba Sepanyol berkenaan akan bertandang ke GP Qatar selepas ini dengan peluang terbaik untuk menobatkan dirinya sebagai juara dunia kelas perdana itu buat kali ke-8.
Dalam pada itu, harapan pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi untuk mencabar kejuaraan dilihat semakin pudar apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-6.
Selepas dipintas pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura bagi kedudukan ke-4, Bezzecchi kemudian dipintas pelumba Tech3 KTM, Enea Bastianini dan terpaksa berpuas hati di tempat ke-6 dan kini ketinggalan 67 mata di belakang Marquez.
Luca Marini (Honda) mengakhiri saingan di tempat ke-7 sebagai pelumba pengeluar Jepun terbaik, diikuti gandingan VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio (k-8) dan Franco Morbidelli (ke-10), manakala pelumba KTM, Brad Binder di tempat ke-9.
Fabio Quartararo muncul pelumba terbaik Yamaha di kedudukan ke-11 menewaskan rakan sepasukannya, Alex Rins.
Situasi jelas berbeza menimpa rakan sepasukan Marquez, Pecco Bagnaia yang bergelut sepanjang perlumbaan sebelum menamatkan saingan di tempat ke-13 dengan perbezaan masa agak jauh, 32.9s di belakang pemenang.

