MARC Marquez Tak Sabar Ke Sepang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/21/20251 min read


MARC Marquez akhirnya memakai sut penuh ikonik berwarna merah pasukan Ducati Lenovo menjelang kempen MotoGP 2025 yang dilabel sebagai tempoh paling mencabar dalam kariernya.
Juara dunia lapan kali itu berjaya memperoleh tempat di pasukan 'kilang' Ducati selepas hanya semusim di pasukan satelit Gresini Ducati.
Dan sekalipun belum memperoleh kemenangan ketika menandatangani kontrak, pelumba kelahiran Sepanyol itu berjaya mengetepikan calon pilihan, Jorge Martin yang akhirnya muncul juara dunia.
Marquez begitupun boleh dikatakan memperoleh musim yang cemerlang pada 2024 selepas turut menamatkan kemarau 1,000 hari kemenangan dan menamatkan kempen di tangga ketiga keseluruhan di belakang rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia dan Martin.
Kembali sebagai pelumba pasukan 'kilang', Marquez mengakui tugasnya semakin berat dan tidak sabar untuk memulakan kembali musim ketika ujian pra-musim di Sepang.
"Sesuatu yang mengujakan untuk berada di sini di Madonna di Campiglio, pembukaan musim baharu MotoGP yang menandakan permulaan apa yang saya gambarkan sebagai cabaran paling penting dalam karier saya," kata Marquez kepada MotoGP.com
"Ketika musim sejuk saya dapat merehatkan diri sebentar tetapi saya juga mempunyai masa untuk berlatih dengan keras dan kini saya rasa bersedia untuk berdepan cabaran baharu yang pasti akan mencabar dan mengujakan.
"Saya benar-benar tidak sabar untuk meneruskan kerja yang saya sudah mulakan di Montmelo ketika ujian pada November lalu dan kembali menaiki jentera di Sepang dan kemudian Buriram.
"Sasaran awal saya adalah untuk menikmati tunggangan kerana saya tahu jika saya berjaya untuk melakukannya segala-galanya akan mengikutinya.
"Seperti yang saya cakap banyak kali, apabila kamu berada di pasukan utama, sasaran tidak boleh selain daripada menjadi kompetitif setiap perlumbaan, bersaing untuk podium dan kemenangan serta cuba untuk menjadi protagonis dalam kejuaraan dunia."
