MARC Marquez Tak Sabar Nak 'Layan' Balaton Park Dengan Ducati GP25

Geng-geng Ducati Corse termasuk dua pelumba pasukan 'kilang', Marc Marquez dan Pecco Bagnaia menguji Litar Balaton Park. Turut ada Alex Marquez, Fermin Aldeguer, Franco Morbidelli dan Fabio Di Giannantonio

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/7/20251 min read

Ducati Corse
Ducati Corse

MARC Marquez menghamburkan pujian kepada Balaton Park, gelanggang baharu yang dijadual menjadi tuan rumah kepada Grand Prix (GP) Hungary pada 22 hingga 24 Ogos ini.

Selepas 33 tahun, MotoGP bakal kembali ke Hungary buat pertama kali sejak kali terakhir pada tahun 1992 dengan Ducati Corse berpeluang menganjurkan sesi ujian khas di litar berkenaan membabitkan barisan pelumbanya di MotoGP termasuk Marc Marquez.

Selain juara dunia lapan kali itu, turut melakukan ujian adalah Francesco Bagnaia, Alex Marquez, Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) dan pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli dan Fabio Di Giannantonio.

Balatan Park pada bulan lalu turut menjadi tuan rumah perlumbaan WorldSBK dan mendapat pelbagai reaksi daripada pelumba namun bagi Marc Marquez, litar berkenaan disifatkan 'luar biasa' selain berpuas hati dengan kualiti permukaan litar.

"Hari yang sangat hebat bersama keseluruhan pasukan Ducati Corse," kata Marc Marquez. "Saya gembira, reka bentuk litar ini unik dan agak luar biasa. Ia memerlukan gaya tunggangan yang berbeza kerana karakter ‘berhenti dan pergi’ yang ketara.

"Tetapi apabila rentak mula diperoleh, kelajuan menjadi lebih menyeronokkan. Permukaan litar juga sangat baik, mereka sudah melakukan kerja yang cemerlang. Saya tidak sabar untuk berlumba di sini dengan jentera MotoGP."

Di pentas WorldSBK, Toprak Razgatlioglu berjaya menampilkan dominasi dengan menjuarai ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan sambil memuji zon brek keras yang menjadi kelebihan buatnya.