MARC Marquez Tak Sangka Menang
Dua kali jatuh ketika sesi latihan bebas pada Jumaat membuatkan pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez tidak menyangka dia mampu menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Belanda 2025 di Assen
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/29/20251 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mengakui tidak menyangka mampu menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Belanda 2025 di Assen, semalam.
Pelumba Sepanyol itu berkata, susulan dua kemalangan yang dihadapinya pada Jumaat, dia masih merasa 'malas' yang menyaksikannya menamatkan sesi kelayakan sebagai pelumba ke-4 terpantas.
Memulakan perlumbaan di barisan kedua, pendahulu kejuaraan dunia MotoGP 2025 itu begitupun tampil garang dan mula mendahului perlumbaan sebelum memasuki pusingan kedua dan tidak lagi menoleh sekali gus menjuarai kemenangan ke-9 Sprint pada musim ini.
"Saya sendiri tidak yakin dengan diri saya ketika ini," kata Marquez memetik laporan MotoGP. "Saya tidak menyangka boleh menang, terutama kerana sejurus saya bangun pada pagi ini, saya tidak rasa begitu bersemangat.
"Ia adalah hari untuk berada di atas sofa dan menonton perlumbaan MotoGP di atas sofa. Tetapi saya cuba untuk memberikan yang terbaik.
"Hari ini (semalam) kami bukan yang terlaju di litar kerana Alex (Marquez) dan Pecco (Bagnaia) sedikit lebih laju daripada saya.
"Tetapi kami berjaya menguruskan situasi dengan cara paling baik dan mencapai 12 mata itu, dan ia lebih besar daripada 12 mata itu kerana ia hari yang sukar."
Sekali pun dicabar adiknya, Alex, Marc begitupun tidak nampak tergugat dan melepasi garisan penamat 0.351 saat di depan adiknya.
Keputusan turut menyaksikannya meningkatkan kelebihan di carta kejuaraan dengan 43 mata menjelang aksi utama, hari ini.
