PELENGKAP podium perlumbaan MotoGP Grand Prix Emilia Romagna 2024, Marc Marquez mengakui dia tidak bersetuju dengan keputusan Steward FIM mengenai insiden membabitkan Enea Bastianini dan Jorge Martin.
Seperti dijangka, insiden kontroversi Bastianini dan Martin yang berlaku di pusingan terakhir perlumbaan semalam di Misano mencetus pelbagai pendapat tetapi menurut Steward FIM, apa yang berlaku langsung tidak perlu dibincangkan.
Susulan keputusan itu, Bastianini sah dinobatkan sebagai juara namun bagi Marquez yang berlumba bersama Gresini Ducati, keputusan itu dilabel sebagai tidak tepat.
Dan alasan Marquez adalah Bastianini perlu dikenakan hukuman kerana pelumba Ducati Lenovo itu turut sudah terkeluar daripada litar susulan tindakan agresifnya itu.
"Saya melihat ulang siar," kata Marquez. "Enea juga sudah terkeluar daripada litar, jadi dia sepatutnya turun satu kedudukan.
"Ini kerana apabila kamu melakukan tindakan memotong secara agresif, apabila kamu berada di dalam litar ia tidak menjadi masalah.
"tetapi apabila kamu keluar daripada litar, jadi ia bermakna kamu seharusnya digugurkan satu kedudukan. Saya tidak bersetuju dengan keputusan itu (steward tidak melakukan siasatan).
"Tetapi sekali lagi, ia tidak bagus untuk kami di dalam kejuaraan. Tetapi itulah yang berlaku."
Sekalipun dilihat cukup dominan di Misano, semalam, Martin begitupun dihambat Bastianini yang beberapa kali cuba untuk memintas tetapi tidak berjaya.
Begitupun pada pusingan terakhir, Bastianini melakukan tindakan yang dilihat cukup agresif yang mengakibatkan kedua-duanya bersentuhan namun Martin menerima akibat paling turut apabila terkeluar jauh daripada litar.
Kemenangan Bastianini turut menyaksikan pelumba Itali itu merampas kedudukan tempat ketiga daripada Marquez dengan kedua-duanya hanya dibezakan dengan satu mata.