MARC Marquez Takluk GP San Marino, Rampas Teraju Kejuaraan

Kemenangan di Misano adalah yang ke-5 buat Marc Marquez pada musim ini membolehkan pelumba Ducati Lenovo itu berkongsi mata di puncak carta bersama Jorge Martin (Aprilia) namun kelebihan jumlah kemenangan meletakkanya sebagai pendahulu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/12/20261 min read

PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez mencipta kejayaan sensasi apabila merangkul kemenangan dramatik pada Grand Prix (GP) San Marino sekali gus merampas kedudukan pendahulu carta Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2026.

Kemenangan kelima pada musim ini membolehkan pelumba Sepanyol itu berkongsi mata di puncak carta bersama Jorge Martin (Aprilia) namun kelebihan jumlah kemenangan meletakkanya sebagai pendahulu.

Dan kejayaan itu turut melakar sejarah luar biasa apabila Marquez memadam defisit 102 mata ketika GP Itali, penghujung Mei lalu.

Terdahulu, saingan yang dijangka sengit antara Marquez dan pelumba petak pertama, Marco Bezzecchi tidak kesampaian seawal pusingan pembukaan apabila pelumba Aprilia itu terbabas pada kelajuan tinggi di Selekoh 13, tepat di hadapan penyokongnya sendiri.

Insiden itu memberi kelebihan buat Marquez untuk mengambil alih pendahulu perlumbaan, namun dia dipintas seketika oleh Martin pada pusingan ketujuh.

Begitupun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila Marquez kembali merampas semula kedudukan pendahulu di Selekoh 6 pada pusingan ke-12 perlumbaan yang membabitkan 27 pusingan itu.

Selepas berjaya memintas, juara dunia tujuh kali itu kemudian menepis asakan sengit pada pusingan-pusingan terakhir daripada adiknya, Alex Marquez yang mewakili Gresini Ducati, untuk mencipta penamat yang mendebarkan.

Marquez membuktikan ketajamannya apabila melintasi kibaran bendera penamat dengan kelebihan tipis 0.657 saat (s) di hadapan Alex, manakala penunggang KTM, Pedro Acosta turut mempamerkan kebangkitan cemerlang untuk melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Nasib berbeza dialami Martin apabila dia semakin ketinggalan pada penghujung perlumbaan dan terpaksa berpuas hati di tempat kelima selepas dipintas oleh seorang lagi pelumba Gresini Ducati, Fermin Aldeguer, dengan jurang masa 14.021s di belakang Marquez.

Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) menamatkan saingan di tempat keenam, diekori Fabio Di Giannantonio (VR46), Enea Bastianini (Tech3 KTM), Luca Marini (Honda) dan Fabio Quartararo (Yamaha).

Hanya 14 daripada 21 pelumba berjaya menamatkan perlumbaan dengan pelumba seperti Pecco Bagnaia, Jack Miller, Johann Zarco dan Diogo Moreira gagal ke garisan penamat akibat terbabas, manakala Alex Rins serta Joan Mir menarik diri.