MARC Marquez Tawan GP Rep. Czech, Perebutan Gelaran Dunia MotoGP Makin Hangat!
Kemenangan GP secara berturut-turut yang dilakar Marc Marquez itu membolehkannya kini menduduki tangga ke-4 kedudukan keseluruhan, merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan Marco Bezzecchi kepada hanya 40 mata, berbanding defisit 102 mata selepas GP Itali bulan lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/21/20261 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez kembali menghidupkan peluangnya dalam perebutan gelaran juara dunia MotoGP selepas cemerlang memenangi perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Republik Czech 2026 di Brno, hari ini.
Kemenangan GP secara berturut-turut yang dilakar Marquez itu membolehkannya kini menduduki tangga ke-4 kedudukan keseluruhan, merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan Marco Bezzecchi kepada hanya 40 mata, berbanding defisit 102 mata selepas GP Itali bulan lalu.
Bintang Aprilia, Bezzecchi tidak berlumba di Brno selepas digantung daripada menyertai perlumbaan utama berikutan insiden menampar marsyal perlumbaan selepas kemalangan pada aksi Sprint pada Sabtu.
Pada aksi 21 pusingan itu pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura yang bermula dari petak pertama cemerlang melakukan 'holeshot' pada awal saingan untuk berada di hadapan pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio dan Marquez.
Begitupun, rakan sepasukan Marquez, Pecco Bagnaia tampil dengan persembahan garang apabila memintas Ogura pada pusingan ke-2, sebelum Marquez mengekori rapat untuk mencetuskan pertarungan sengit jentera kilang Ducati.
Selepas saling bertukar kedudukan dalam keadaan cuaca panas terik, jentera Bagnaia mula hilang sengat pada penghujung saingan yang membenarkan Marquez melakukan pintasan berani di Selekoh 4 pada pusingan ke-16 untuk merampas kedudukan pendahulu.
Ogura turut berjaya memintas Bagnaia sebelum cuba memberikan tekanan maksimum pada pusingan-pusingan akhir.
Begitupun, Marquez kebal bertahan untuk melintasi garisan penamat dengan kelebihan 0.421 saat (s), sekali gus memaksa pelumba Jepun itu terpaksa berpuas hati sebagai juara.
Bagnaia terpaksa bermandi peluh sebelum berjaya mengesahkan pentas podium di tempat ketiga dengan kelebihan tipis 0.169s di hadapan Di Giannantonio.
Pelumba Honda, Joan Mir muncul satu-satunya pelumba menggunakan tayar belakang lembut melengkapkan kedudukan lima teratas selepas menerima 'durian runtuh' susulan masalah mekanikal tayar yang memaksa pelumba KTM, Pedro Acosta menarik diri pada pusingan terakhir.
Sementara itu, pencabar kejuaraan, Jorge Martin menamatkan saingan di tempat ke-9 selepas terpaksa mengharungi dua penalti pusingan panjang yang meletakkannya kini hanya dibezakan lapan mata di belakang rakan sepasukannya, Bezzecchi.

