MARC Marquez Tawan Sprint Misano, Marco Bezzecchi Ke-2
Bermula di petak ke-2, Marc Marquez berjaya mempamerkan permulaan cemerlang apabila pantas merampas kedudukan pendahulu daripada Bezzecchi seawal selekoh pertama pusingan pembukaan perlumbaan 13 pusingan itu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/12/20261 min read


JAGUH Ducati Lenovo, Marc Marquez memanfaatkan percaturan strategi tayar untuk mengalahkan pelumba yang dilabelnya pilihan, Marco Bezzecchi dari Aprilia untuk menjuarai perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) San Marino 2026.
Meskipun bermula di petak ke-2, penyandang juara dunia itu berjaya mempamerkan permulaan cemerlang apabila pantas merampas kedudukan pendahulu daripada Bezzecchi seawal selekoh pertama pusingan pembukaan perlumbaan 13 pusingan itu.
Apa yang menarik, kemenangan Sprint ke-6 kempen buat pelumba Sepanyol itu bermula dengan keputusan taktikal sebelum perlumbaan, di mana dia memilih tayar belakang kompaun medium, manakala Bezzecchi kekal dengan tayar lembut.
Kedua-dua pelumba bersaing sengit pada awal perlumbaan, sebelum Marquez mula menjarakkan diri dengan kelebihan setengah saat pada pusingan ke-4 dan terus melebarkannya kepada 1 saat pada dua pusingan berikutnya.
Bezzecchi cuba memberikan tekanan pada penghujung saingan apabila berjaya merapatkan jurang kepada hanya 0.7 saat pada pusingan ke-9.
Tetapi enggan menyerah, Marquez kembali memperkemaskan rentaknya untuk mematahkan ancaman berkenaan dan melintasi garisan penamat dengan kelebihan 1.068 saat di hadapan Bezzecchi.
Kemenangan Sprint ke-21 dalam karier Marquez itu membolehkannya kini hanya ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Jorge Martin yang juga rakan sepasukan Bezzecchi yang menamatkan saingan di tempat ke-3.
Martin yang turut menggunakan tayar kompaun media pada perlumbaan itu terpaksa bekerja keras sebelum berjaya memintas pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio pada pusingan ke-7 untuk melengkapkan pentas podium.
Dalam pada itu, pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez menamatkan saingan di tempat ke-7, manakala Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) yang bermula dari petak ke-3 jatuh ke kedudukan ke-8.
Tetapi nasib malang menyelubungi beberapa nama besar antaranya Pecco Bagnaia yang sekadar menduduki tempat ke-13, manakala pelumba Yamaha, Fabio Quartararo menamatkan saingan di kedudukan tercorot selepas terjatuh pada pusingan ke-3.

