MARC Marquez Telan Ubat Tahan Sakit Paling Kuat Hadapi GP Jerman
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/7/20241 min read
MARC Marquez pernah menyatakan satu-satunya cara untuk menjuarai Grand Prix Jerman 2024 adalah dengan mendapatkan 'minggu sempurna' di salah satu litar kegemarannya Sachsenring.
Begitupun, impian itu tidak menjadi kenyataan apabila pemenang 11 kali di Sachsenring itu dipalit pelbagai episod duka, termasuk kemalangan ngeri yang menghadirkan kecederaan teruk di bahagian jari dan rusuk.
Dan situasi itu menghalang pelumba pasukan Gresini Ducati itu untuk menghasilkan persembahan terbaik terutama ketika kelayakan yang menyaksikannya terpaksa bermula di petak ke-13.
Tetapi di sebalik segala yang berlaku, juara dunia lapan kali yang menunggang jentera Ducati GP23 itu masih mampu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-6 pada aksi Sprint, semalam.
Mengulas mengenai situasi yang terjadi kepadanya, pelumba berusia 30 tahun itu mengakui terpaksa mengambil ubat tahan sakit paling kuat ketika Perlumbaan Sprint.
"Ubat tahan sakit yang boleh kami ambil. Jadi dalam dua atau tiga jam, kami akan tahu di mana kami berada," katanya.
"Jari patah, ia menyakitkan tetapi boleh ditahan. Masalah utama adalah di bahagian rusuk, terutama ketika perlumbaan apabila saya mula untuk bernafas dengan lebih dalam dan kemudian kesakitan itu menjadi lebih teruk, teruk dan teruk.
"Kerana itu, saya hanya melakukan tiga pusingan semalam pada sesi petang dan tiga pada sesi pagi. Tetapi selain daripada itu, kita akan lihat apa yang boleh kami lakukan."
Hanya ketinggalan 6.281 saat di belakang pemenang Jorge Martin pada aksi Sprint, Marquez akur tugasnya untuk mencabar pelumba di bahagian cukup sukar selepas terpaksa bermula di petak ke-13.
"Tidak banyak kamu boleh lakukan apabila bermula di petak ke-13, terutama kerana kamu hanya mempunyai satu dua tempat untuk memintas setiap pusingan.
"Tetapi selain daripada itu adalah apabila saya mahu melakukan catatan yang baik, kelajuan itu ada, cukup hampir dengan pelumba di depan. Jadi ia bagus.
"Sudah tentu saya sedikit kecewa kerana saya merasa cukup baik dengan jentera dan rasa cukup laju. Kebangkitan yang dibuat pada perlumbaan cukup bagus.
"Tetapi esok (hari ini) kami perlu cuba untuk bertahan dan cuba untuk melakukan semaksimum yang mungkin seperti yang kami lakukan pada hari ini," kata Marquez yang secara teknikalnya masih belum dikalahkan pada aksi MotoGP di Sachsenring setakat ini.