MAX Verstappen diketahui sebagai peminat MotoGP dan juara dunia Formula Satu (F1) empat kali itu melabel Marc Marquez sebagai terbaik di grid perlumbaan dua roda elit itu ketika ini.
Verstappen dan Marquez sebelum ini sering digandingkan ketika acara membabitkan penaja Red Bull.
Begitupun situasi itu akan berubah selepas juara dunia MotoGP enam kali, Marquez menyertai pasukan 'kilang' Ducati iaitu Ducati Lenovo yang mempunyai kaitan dengan Monster Energy.
"Saya adalah peminat tegar MotoGP dan saya cuba untuk menyaksikan setiap perlumbaan," kata Verstappen dalam satu temuramah membabitkan Red Bull di Austria, baru-baru ini.
"Saya membawa ipad saya ke setiap litar supaya saya tidak terlepas apa-apa."
Verstappen dalam pada itu tidak dapat menahan dirinya daripada menghamburkan pujian kepada Marquez.
"Marc adalah juara dunia MotoGP enam kali," kata Verstappen.
"Dan sekalipun dia akan memerlukan sedikit masa untuk mengadaptasi dengan pasukan baharu, saya yakin dia akan melakukannya dengan baik. Dia adalah yang terbaik di grid."
Ketika ditanya sama ada berminat untuk mencuba jentera MotoGP, Verstappen mengakui terbuka tetapi ada beberapa halangan yang menyaksikan impian itu tidak kesampaian.
"Saya memang mahu mencubanya, tetapi saya fikir adalah lebih logik untuk memulakannya dengan Moto2 atau Moto3 sebelum menunggang MotoGP," katanya.
"Saya ingin melakukannya, tetapi saya juga faham dengan kebimbangan oleh pasukan saya. Ketika ini, saya selesa untuk menikmatinya sebagai penonton."