MARC Marquez 'Terbuka' Sertai Mana-Mana Pasukan Musim Depan, Selamat Tinggal Gresini Ducati?

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/24/20241 min read

GRESINI Ducati mungkin boleh bersedia untuk kehilangan khidmat pelumba bintangnya, Marc Marquez dalam kempen MotoGP musim depan.

Marquez yang juga juara dunia MotoGP enam kali berlumba bersama pasukan satelit Ducati, Gresini Racing musim ini selepas mengikat kontrak selama setahun selepas meninggalkan pasukan 'kilang' Repsol Honda.

Ketika ditanya mengenai masa depannya oleh TNT Sports, pelumba kelahiran Sepanyol itu tanpa segan silu menjelaskan dia terbuka kepada sebarang tawaran ketika ini bagi musim depan.

"Saya menjangkakan yang pasaran akan menjadi lebih meriah," kata Marquez. "Ia akan mengambil lebih masa untuk menandatangani kontrak.

"Setiap pengeluar sudah menandatangani pelumba terbaik mereka, Ducati mengikat Pecco, Yamaha mengikat Quartararo dan selepas ini adalah Aprilia.

"Mereka akan mengikat salah seorang daripada dua pelumba mereka, kemudian mereka akan menunggu pelumba kedua.

"Bagi saya, semua pintu terbuka. Jika kamu laju di litar, lebih banyak pintu akan terbuka. Jadi ini adalah sasaran saya.

"Saya berada di posisi yang berbeza kerana saya menikmatinya dan saya rasa kompetitif. Saya terbuka untuk mendengar segala-galanya."

Tidak seperti situasi ketika meninggalkan Honda pada musim lalu dalam usaha menunggang jentera yang lebih kompetitif, Marquez ketika ini kembali mengukir senyuman selepas kembali bersaing di kelompok depan.

Selain pasukan utama Ducati, antara pasukan yang dikatakan berminat dengan khidmat Marquez adalah KTM.