MARC Marquez Terpantas Hari Pertama Ujian Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/11/20252 min read

MARC Marquez membuktikan keserasiannya dengan Ducati GP25 semakin baik apabila menamatkan hari pertama ujian pra-musim MotoGP di Buriram, Thailand, hari ini dengan catatan terpantas.

Tetapi, disebalik keputusan positif yang diperoleh pelumba Ducati Lenovo itu, pasukan itu masih belum dapat membuat keputusan konkrit sama ada akan menggunakan enjin spesifikasi terkini atau yang digunakan pada tahun lalu.

Seperti diketahui, Ducati akan kekal menggunakan enjin yang sama bagi musim ini dan musim depan berikutan peraturan yang ditetapkan oleh kejuaraan berkenaan.

Malah pada penghujung sesi hari ini, Pengurus Ducati Lenovo, David Tardozzi menyatakan yang pasukan lebih cenderung dan berkemungkinan besar akan memilih enjin Ducati GP24.

Ducati sekali lagi mengungguli ujian dengan dua lagi pelumba terpantas diisi pelumba daripada pengeluar Itali itu dan menariknya menggunakan jentera Ducati GP24.

Selepas mencatatkan masa terpantas di Barcelona dan Sepang, Alex Marquez dari Gresini Ducati terpaksa menyerahkan 'takhta' berkenaan kepada abangnya dan berpuas hati dengan catatan kedua terpantas.

Mencatatkan masa ketiga terpantas adalah pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli.

Aprilia turut memperoleh ujian yang baik dengan pelumbanya, Marco Bezzecchi mencatatkan masa ke-4 terpantas diikuti pelumba terbaik KTM, Pedro Acosta di tangga ke-5.

Honda meneruskan prestasi baiknya di Sepang dengan pelumbanya, Luca Marini mencatatkan masa ke-6 terpantas.

Rakan sepasukan Marc, Francesco Bagnaia mencatatkan masa ke-8 terpantas.

Selepas tampil dengan prestasi cukup positif di Barcelona dan Sepang, Yamaha tampil sedikit merudum dengan pelumba terbaiknya sekadar menghuni catatan ke-10 terpantas.

Menariknya, ia bukan dilakukan pelumba pasukan 'kilang' Monster Yamaha, Fabio Quartararo tetapi pelumba Pramac Yamaha, Jack Miller.

Rakan sepasukan Alex, Fermin Aldeguer muncul pelumba 'rookie' terpantas di kedudukan ke-14 dengan pelumba Trackhouse Racing, Ai Ogura melengkapkan kedudukan 15 terbaik.

Sebagai rekod, catatan terpantas di Buriram dilakukan oleh Bagnaia 1 minit 28.700 saat (s) pada tahun lalu.

Berikut adalah catatan masa hari pertama ujian di Buriram

  1. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 1:29.184s

  2. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +0.465s

  3. Franco Morbidelli (ITA) VR46 Ducati (GP24), +0.499s

  4. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +0.610s

  5. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +0.720s

  6. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +0.744s

  7. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +0.777s

  8. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +0.844s

  9. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +0.857s

  10. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +0.880s

  11. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +0.883s

  12. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +1.022s

  13. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +1.049s

  14. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +1.189s

  15. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +1.269s

  16. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +1.277s

  17. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +1.554s

  18. Maverick Vinales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +1.643s

  19. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +1.791s

  20. Somkiat Chantra (THA) LCR Honda (RC213V)*, +2.024s

  21. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Test Rider (RS-GP25), +2.546s