MARC Marquez Teruja Nak 'Layan' Ducati Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/22/20241 min read

MARC Marquez mencatatkan masa keempat terpantas ketika sesi ujian post-musim MotoGP di Valencia tahun lalu sekalipun ia hanya penampilan sulungnya bersama jentera Desmosedici Ducati.

Terkenal dengan gaya tunggangan yang agresif, juara dunia lapan kali itu menjelaskan dia belum betul-betul menguji jentera berkenaan dan teruja untuk melakukannya di Litar Antarabangsa Sepang, bulan depan.

"Di Valencia, saya menunggang dengan amat lancar tetapi kami belum tahu sama ada ia akan menjadi gaya tunggangan saya bersama Ducati," kata Marquez ketika pelancaran pasukan Gresini Ducati 2024.

"Ia adalah ujian yang pertama, dan saya memberitahu mereka untuk melakukan pelarasan seperti pelumba lain dan jangan menyentuh apa-apa. Saya hanya ingin mengadaptasi.

"Mereka menyentuh beberapa perkara kecil untuk memberikan saya lebih keyakinan dengan bahagian depan, tetapi saya menunggang dengan lancar kerana saya tidak rasa bersedia untuk menunggang secara agresif dan mencari had jentera ini.

"Saya teruja untuk mencuba jentera ini di litar seperti Malaysia dan Qatar di mana saya banyak bergelut setiap tahun.

"Kerana Valencia, saya secara normal amat pantas setiap tahun. Tetapi ia permulaan yang baik. Di Valencia, saya mendapatkan catatan masa yang baik kerana saya merasa selesa dengan jentera sejak awal.

"Tetapi saya juga tenang kerana saya hanya memiliki satu jentera di garaj. Saya kebiasaannya mempunyai empat jentera (di Honda) ketika ujian di Valencia.

"Tetapi saya hanya mempunyai hanya satu dan mereka berkata kepada saya, 'Jika kamu terjatuh, ujian kamu tamat'.

"Jadi saya tenang, bekerja selangkah demi selangkah dan merasai jentera. Tetapi saya ingin tahu bagaimana saya rasa di Malaysia," kata Marquez.

Mengulas lanjut, Marquez berkata dia yakin akan mengharungi kejatuhan pertama di Malaysia atau Qatar.

"Saya lebih rela jatuh ketika latihan berbanding perlumbaan," katanya.

Sebagai info, ujian rasmi MotoGP di Sepang berlangsung pada 6 hingga 8 Februari.