MARC Marquez Terus Jinakkan Sachsenring, Rangkul Kemenangan ke-10 Sprint Musim Ini!
Pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez mengekalkan statusnya sebagai 'Raja' di Sachsenring apabila menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Jerman 2025 yang berlangsung penuh dramatik dalam keadaan litar basah
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/12/20251 min read


MARC Marquez terus membuktikan dirinya sebagai 'Raja' di Sachsenring apabila menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Jerman 2025 yang berlangsung penuh dramatik dalam keadaan litar basah.
Sekalipun melakukan kesilapan seawal selekoh pertama, pelumba Ducati Lenovo itu tampil dengan kebangkitan menakjubkan untuk merangkul kemenangan ke-10 dalam Perlumbaan Sprint pada musim ini.
Situasi yang berlaku memberikan peluang kepada pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi untuk memimpin hampir keseluruhan 15 pusingan sebelum Marquez merampas kedudukan itu pada pusingan terakhir.
Ia menyaksikan Bezzecchi terpaksa melepasi garisan penamat sebagai naib juara dengan pelumba Monster Yamaha, Fabio Quartararo melengkapkan kedudukan podium.
Lebih menarik, ia adalah podium Sprint pertama pelumba kelahiran Perancis itu sejak 2023.
Sementara itu, pelumba pukan VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio yang bersaing sengit di penghujung perlumbaan untuk podium terakhir terpaksa berpuas hati di tempat ke-4.
Pelumba pasukan satelit Yamaha, Jack Miller (Pramac Yamaha) turut tampil dengan prestasi baik apabila pelumba yang dikenali sebagai pakar dalam keadaan litar basah itu menamatkan perlumbaan di tempat ke-5.
Seorang lagi pelumba yang dianggap sebagai pakar di litar basah, Brad Binder (Red Bull KTM) menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 yang juga pelumba terbaik KTM di Sachsenring.
Pelumba yang memulakan perlumbaan di petak kedua, Johann Zarco (LCR Honda) menamatkan perlumbaan di tempat ke-7 diikuti pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez yang masih bergelut dengan kecederaan di bahagian tangan.
Pedro Acosta yang juga rakan sepasukan Binder melengkapkan kedudukan terakhir dalam pungutan mata di tempat ke-9 selepas bersaing sengit dengan 'rookie' musim ini, Fermín Aldeguer dari Gresini Ducati.
Sementara itu, malang menimpak pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang mengalami kemalangan pada pusingan ke-3 selepas hilang kawalan di selekoh 11.
Dia dilaporkan mengalami kecederaan pada bahagian bahu dan sudah dikejarkan ke pusat perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
Kemenangan menyaksikan Marquez terus melebarkan jurang dalam kedudukan keseluruhan carta pelumba selepas mengumpul keseluruhan 319 mata dengan kelebihan 78 mata di depan adiknya, Alex.
Rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia yang menamatkan Perlumbaan Sprint di Sachsenring di tempat ke-12 tanpa sebarang tambahan mata kekal di tangga ketiga dengan 181 mata di tempat ketiga keseluruhan.
