MARC Marquez Terus Konsisten Menang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/15/20252 min read


MARC Marquez mengulangi kejayaan yang diperoleh di Buriram, Thailand dengan menjuarai Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Argentina 2025, hari ini.
Kemenangan menyaksikan juara dunia lapan kali itu merangkul ketiga-tiga perlumbaan yang ditawarkan di pentas MotoGP pada musim ini.
Seperti di Buriram, pelumba pasukan Ducati itu sekali lagi dicabar adiknya, Alex Marquez dari Gresini Racing.
Begitupun, skrip sama turut berulang apabila pelumba yang menggunakan jentera Ducati GP24 itu akhirnya terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.
Rakan sepasukan Marc, Pecco Bagnaia melengkapkan kedudukan podim di Termas de rio Hondo.
Pelumba LCR Honda, Johann Zarco meneruskan kebangkitan Honda apabila menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 sekalipun bermula di petak ke-3 manakala seorang lagi pelumba yang menggunakan jentera Ducati GP25, Fabio Di Giannantonio dari VR46 Ducati melengkapkan kedudukan lima terbaik.
Kemenangan menyaksikan Marc kini memiliki kelebihan 11 mata di depan Alex dalam kedudukan carta kejuaraan dan kelebihan 19 mata di depan Bagnaia.
Marco Bezzecchi menjadi pelumba terbaik Aprilia selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-6 diikuti seorang lagi pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang turut berdepan kemalangan dengan pelumba KTM, Brad Binder di awal perlumbaan.
Binder terpaksa menamatkan perlumbaannya lebih awal susulan kemalangan itu. Turut tidak menghabiskan perlumbaan adalah pelumba Pramac Yamaha, Miguel Oliveira yang terbabit kemalangan dengan Fermin Aldeguer.
Joan Mir muncul pelumba kedua Honda (Honda HRC Castrol) menamatkan perlumbaan dalam pungutan mata di tangga ke-8 dengan pelumba KTM, Pedro Acosta meraih mata terakhir di kedudukan ke-9.
Pelumba terbaik Yamaha menjadi milik Fabio Quartararo (Monster Yamaha) yang tampak garang di awal perlumbaan sebelum cabarannya mengendur dan melepasi garisan penamat di tempat ke-10.
Keputusan Perlumbaan Sprint GP Argentina 2025
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), 19m 37.331s
Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +0.903s
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +3.859s
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +5.026s
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +6.451s
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), +7.333s
Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), +8.368s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +10.858s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +11.229s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +12.356s
Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +15.201s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +15.298s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +16.653s
Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +18.442s
Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25)*, +18.618s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +19.560s
Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +20.925s
Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +21.287s
Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24)*, +45.325s
Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), DNF
Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
