MARC Marquez Tiada Dalam Senarai Valentino Rossi

Valentino Rossi ketika ditemui pada majlis pelancaran liveri khas pasukannya VR46 Ducati di Jakarta menjelang GP Indonesia 2025 hujung minggu ini di Mandalika kembali menghangatkan 'perseteruannya' dengan Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/1/20251 min read

SEBAGAI juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi memiliki karier cukup panjang dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dan bersama deretan kejayaan yang dimilikinya, dia turut memiliki banyak 'musuh' di atas litar.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran liveri khas pasukannya VR46 Ducati di Jakarta menjelang GP Indonesia 2025 hujung minggu ini di Mandalika, Rossi ketika ditanya mengenai siapa pencabar terhebat dalam kariernya menyebut empat nama.

Menariknya, Rossi tidak menyenaraikan pelumba yang baru menyamai pencapaiannya, Marc Marquez dalam senarai itu, meskipun kedua-duanya itu pernah bersaing sengit di litar.

Dam senarai Rossi itu diisi Casey Stoner, Jorge Lorenzo, Max Biaggi dan Dani Pedrosa.

“Sukar untuk memilih siapa yang paling hebat. Mungkin Lorenzo kerana kami berada dalam pasukan yang sama dan menjadi rakan sepasukan untuk tempoh yang lama. Ia bukan sekadar persaingan, ia seperti kisah cinta,” kata Rossi.

Ketiadaan nama Marquez dalam senarai itu jelas menimbulkan tanda tanya, lebih-lebih lagi selepas pelumba Sepanyol itu menyamai rekod Rossi dengan tujuh gelaran dunia MotoGP dan sembilan kejuaraan keseluruhan selepas kemenangan di Grand Prix Jepun minggu lalu.

Seperti diketahui, hubungan Rossi dan Marquez ketika ini memang cukup buruk terutama selepas musim 2015 apabila Rossi mendakwa Marquez sengaja mensabotaj peluangnya untuk merangkul kejuaraan dunia.

Sejak itu, kedua-dua pelumba jarang dilihat berinteraksi di khalayak.

Ketika temu bual bersama media Sepanyol, baru-baru ini, Marquez begitupun menyatakan adalah satu penghormatan untuk dia berada sebaris dengan Rossi dan Giacomo Agostini sebagai pelumba yang berjaya merangkul tujuh gelaran dunia MotoGP.

Malah pada awal tahun ini, Marquez turut menyenaraikan Rossi sebagai antara pelumba impiannya sekiranya diberi peluang untuk berlumba dalam satu grid impian.

Rossi yang bersara daripada MotoGP pada penghujung 2021 kini aktif dalam perlumbaan kereta, mewakili pasukan WRT dalam Kejuaraan Dunia FIA Endurance (WEC) kategori LMGT3. Terbaharu, dia menamatkan perlumbaan Fuji 6 Hours di tempat keempat.