MARC Marquez Ungguli Perlumbaan Sprint Motegi, Diogo Moreira Podium!
Kemenangan Marc Marquez diwarnai kejayaan pelumba rookie, Diogo Moreira meraih podium pertamanya di MotoGP selepas penalti pasca-perlumbaan yang dikenakan kepada Jorge Martin dan Enea Bastianini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/3/20261 min read


PELUMBA sensasi Ducati Lenovo, Marc Marquez muncul juara perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Jepun 2026 dalam aksi penuh drama yang turut menyaksikan pelumba rookie, Diogo Moreira meraih podium pertamanya di MotoGP selepas penalti pasca-perlumbaan.
Meskipun melepasi garisan penamat di tempat ke-4, pelumba LCR Honda itu dinaikkan 'pangkat' sebagai naib juara selepas pendahulu kejuaraan, Jorge Martin dan Enea Bastianini yang pada mulanya melintasi garisan penamat di kedudukan ke-2 dan ke-3 dikenakan penalti turun satu anak tangga.
Pelumba Aprilia, Martin dan Tech3 KTM, Bastianini dikenakan penalti selepas didapati melepasi had litar pada pusingan terakhir, sekali gus menghadiahkan podium sulung kelas perdana yang tidak disangka-sangka buat Moreira dari Brazil.
Terdahulu, Martin yang menunggang jentera Aprilia kelihatan berada di kedudukan yang selamat untuk menamatkan saingan di tempat ke-2, namun dia secara tiba-tiba kehilangan cengkaman tayar belakang pada beberapa pusingan terakhir.
Dan ulang tayang dengan jelas menunjukkan jenteranya bergegar teruk akibat masalah tayar itu namun bernasib baik kerana masih mampu menamatkan perlumbaan.
Begitupun, nasib berbeza menimpa rakan sepasukan Marquez, Pecco Bagnaia yang terpaksa masuk ke hentian pit dan menamatkan saingan lebih awal berikutan sebahagian tayar belakangnya tertanggal.
Bermula di petak utama, kedudukan Martin dirampas Marquez sejurus perlumbaan memasuki selekoh pertama dan juara dunia 9 kali itu tidak lagi menoleh ke belakang.
Sementara itu, aksi Sprint di Motegi turut diwarnai insiden kemalangan yang membabitkan Marco Pedro Acosta (Red Bull KTM), Alex Marquez (Gresini Ducati) dan pelumba VR46 Ducati, Fabio di Giannantonio.
Bastianini dalam pada itu terpaksa menerima hakikat untuk tidak berada di podium selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 manakala jaguh tuan rumah, Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) ke-5.
Rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi ke-6 diikuti rakan sepasukan Moreira, Johann Zarco ke-7, Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) ke-9 dan pelumba Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo melengkapkan senarai pelumba yang meraih mata.

