MARC Marquez Yakin Dah Sedia Hadapi Buriram
Sepanjang dua hari ujian di Buriram, Marc Marquez berdepan 3 kemalangan termasuk insiden terakhir di selekoh ketiga ketika melakukan simulasi perlumbaan pada hari terakhir dan selepas ujian perubatan, dia disahkan tidak mengalami kecederaan serius
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/22/20261 min read


PELUMBA bintang Ducati Lenovo, Marc Marquez percaya dia sudah bersedia untuk menghadapi musim baharu MotoGP walaupun berdepan tiga kemalangan sepanjang ujian pramusim di Litar Buriram, Thailand, hujung minggu lalu.
Penyandang juara dunia MotoGP itu memetik laporan Crash menegaskan dia yakin jentera Ducati GP26 sudah memiliki segala yang diperlukan untuk memulakan musim ini.
"Saya 100 peratus yakin dan jelas tentang apa yang saya perlukan sekarang dan bagaimana kami akan bermula. Hari ini (semalam) saya gembira kerana tunggangan saya baik, dan saya menamatkan pramusim dengan perasaan positif," kata Marquez.
Selepas berdepan insiden terakhir di selekoh ketiga ketika melakukan simulasi perlumbaan pada hari terakhir, Marquez segera dibawa ke pusat perubatan untuk pemeriksaan tetapi disahkan tidak mengalami kecederaan serius.
Mengulas insiden itu, bekas pelumba Honda itu menjelaskan ia bukan berpunca daripada kelemahan jentera, namun membabitkan masalah tumpuan kerana keadaan fizikal yang kurang baik.
"Saya sepatutnya menamatkan simulasi panjang, tetapi saya terjatuh dan terpaksa berhenti lebih awal. Secara jujur, kemalangan itu kerana kurang tumpuan, ditambah masalah perut sejak semalam. Badan saya tidak pulih sepenuhnya.
"Apabila kurang tumpuan, kita mudah melampaui had. Naluri saya sentiasa mahu laju, tetapi bila fokus penuh, saya boleh kawal. Masalahnya, kali ini badan tidak cukup kuat untuk mengekalkan tumpuan,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran fizikal, Marquez berpuas hati dengan prestasi Ducati GP26 yang dikatakan menunjukkan peningkatan berbanding tahun lalu.

