MARCO Bezzecchi Akui Terfikir Kenapa Kekal Di VR46
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/20/20241 min read
PELUMBA lulusan akademi VR46, Marco Bezzecchi mengakui terlintas di fikiran mengenai keputusannya untuk kekal bersama pasukan milik Valentino Rossi, VR46 Ducati.
Bezzecchi pada musim lalu tampil dengan prestasi cemerlang selepas menamatkan kempen di kedudukan ke-3 di belakang juara dunia Francesco Bagnaia dan Jorge Martin.
Pencapaian hebat itu membuatkan Ducati menawarkan posisi bersama pasukan satelit rasmi pengeluar Itali itu, Pramac Ducati namun ditolak Bezzecchi untuk kekal bersama mentornya di VR46.
Sedikit mengecewakan, Bezzecchi ketika ini tidak berjaya mengulangi prestasi cemerlang yang dilakukannya pada musim lalu.
Dan ketika ditemuramah Sky Italia, baru-baru ini, pelumba kelahiran Itali mengakui ada terfikir mengenai keputusannya untuk kekal di VR46 Ducati dan berlumba menggunakan jentera GP23 berbanding GP24 di Pramac.
Respon yang diberikan oleh pelumba kelahiran Itali tampak seperti membuka peluang kepada beberapa pengeluar antaranya Aprilia dan Yamaha untuk merekrutnya bagi musim 2025.
"Saya akui yang saya ada terfikir mengenainya," kata Bezzecchi. "Tetapi saya tidak pernah menyesali pilihan yang dibuat dan ia tidak mengganggu saya.
"Memang mudah untuk bercakap selepas kejadian, tetapi saya masih yakin dengan keputusan saya."
Begitupun, Bezzecchi masih belum melupakan hasrat untuk bergelar pelumba pasukan 'kilang' pada masa depan.
"Saya fikir saya sudah semakin matang dan saya mahu menjadi pelumba pasukan 'kilang', yang juga cita-cita semua pelumba," kata Bezzecchi. "Tetapi saya perlu perlu membuktikan yang saya pelumba yang laju dan kompetitif untuk mendapat peluang itu."
Mengulas mengenai peluang perpindahan ke Aprilia atau Yamaha - yang ketika ini masih belum menyenaraikan barisan pelumba bagi musim 2025, Bezzecchi mengakui ia tidak mudah dan terlalu awal untuk memikirkannya.
Selepas lima pusingan, Bezzecchi hanya berjaya meraih satu kedudukan podium di Jerez.