MARCO Bezzecchi Belum Fikir Sasaran 2024 Selagi Tak Uji GP23 Di Sepang!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/25/20241 min read

MARCO Bezzecchi mengharungi kempen mengujakan di MotoGP musim lalu namun pelumba satelit Ducati, Pertamina VR46 itu belum bersedia menyatakan sasarannya sehingga dia menguji jentera GP23 di Sepang, Malaysia.

Menggunakan jentera 'tua' GP22, Bezzecchi menamatkan saingan 2023 di tangga ketiga di belakang juara dunia Francesco Bagnaia dan Jorge Martin yang menggunakan jentera 'Factory' terkini.

Tiba dengan penampilan berbeza tahun ini selepas dua musim bergandingan dengan warna hitam, pelumba kelahiran Itali itu meraih ujian 'post-musim' yang baik di Valencia, tahun lalu dengan catatan ketiga terpantas menggunakan jentera GP23.

Namun, ia masih belum cukup buat pelumba dengan gelaran Bez itu memberitahu sasarannya pada musim ini sebelum sesi ujian di Malaysia.

"Saya hanya memperoleh sehari untuk menguji jentera baharu itu, yang agak berbeza berbanding jentera yang saya miliki musim lalu," kata Bezzecchi. "Sudah tentu ia jentera yang amat kompetitif, GP23 memenangi gelaran Juara Dunia jadi sudah pasti ia jentera yang menakjubkan.

"Saya hanya memerlukan lebih masa untuk memahaminya dengan lebih baik bagaimana untuk menunggangnya dan bagaimana untuk menggunakan potensi jentera itu secara maksimum."

Mengulas lanjut, Bezzecchi berkata tiada perbezaan yang 'gila' membabitkan GP22 dan GP23 namun akan timbul kesukaran apabila ia membabitkan gaya tunggangan.

"Saya menunggang GP21 pada tahun pertama saya di MotoGP. Kemudian tahun lalu saya menunggang GP22 dan perbezaannya kecil," kata Bezzecchi. "Kemudian di Valencia saya menguji GP23 dan perbezaannya agak besar.

"Di Valencia, saya merasakan sedikit rasa positif. Tetapi pada satu tahap saya perlukan peningkatan, terutama dari sudut gaya tunggangan kerana jentera itu memerlukan pergerakan yang berbeza daripada saya... Saya kehilangan beberapa langkah.

"Jadi kerana ini, saya tidak sabar untuk menunggangnya di Malaysia, litar yang saya amat gemari. Saya mahu melihat bagaimana saya rasa dengan jentera baharu dan cuba untuk melangkah dari sana dengan perasaan yang postif.

"Ketika ioni, saya hanya cuba untuk bertenang dan fokus kepada ujian. Cuba untuk memperlajari jentera. Cuba untuk meletakkan diri saya dalam keadaan selesa dengan jentera dan selepas Malaysia, saya akan berfikir mengenai sasaran kepada diri saya."