MARCO Bezzecchi Bermotivasi Tinggi Hadapi GP Argentina
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/12/20251 min read


PELUMBA Aprilia, Marco Bezzecchi mengakui tidak sabar untuk membuat kepulangan semula ke Grand Prix (GP) Argentina - lokasi di mana dia akan bergelar sebagai penyandang juara susulan kemenangan pada musim 2023.
Penganjuran GP Argentina pada tahun lalu seperti diketahui dibatalkan berikutan situasi politik yang tidak stabil di negara berkenaan.
Tetapi tidak seperti kemenangan yang diperoleh pada 2023 yang diraih bersama pasukan VR46 Ducati, Bezzecchi kali ini tiba di Termas de Rio Hondo dengan jentera berbeza iaitu Aprilia.
"Saya amat gembira akhirnya dapat kembali ke Argentina kerana saya benar-benar menyukai litar ini dan saya sememangnya kecewa kerana kami tidak datang ke sini tahun lalu," kata Bezzecchi memetik laporan Crash.net.
"Kami melakukan kerja yang bagus di Thailand dan kami perlu terus meningkat bersama pasukan. Saya tidak sabar untuk kembali ke trek."
Seperti Bezzecchi, Aprilia turut mempunyai 'sejarah' yang mengujakan di Argentina apabila ia menjadi lokasi pengeluar Itali itu memperoleh kemenangan pertamanya dalam kelas MotoGP pada 2022.
Bezzecchi pada debutnya bersama Aprilia Racing di Thailand memperoleh tempat ke-6 tetapi ia bukanlah keputusan terbaik daripada pengeluar itu dengan rookie, Ai Ogura menamatkan perlumbaan di tempat ke-5.
Sementara itu, pelumba ujian Aprilia Lorenzo Savadori sekali lagi akan berlumba bagi menggantikan penyandang juara dunia yang sedang menjalani proses pemulihan, Jorge Martin.
Apa yang menarik, Savadori tidak pernah berlumba di Termas de Rio Hondo dengan sasarannya adalah untuk terus membangunkan jentera Aprilia RS-GP sebelum Martin kembali berlumba.
