MARCO Bezzecchi Dah Jangka Keputusan Di Buriram

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/3/20251 min read

MARCO Bezzecchi mengakui apa yang diperoleh pada debutnya bersama Aprilia di pusingan pembuka tirai MotoGP musim ini di Buriram, Thailand adalah seperti yang dijangka.

Selepas menamatkan Perlumbaan Sprint di kedudukan ke-12, bekas pelumba VR46 Ducati itu bangkit untuk menamatkan perlumbaan GP di tempat ke-6.

Begitupun, keputusan itu tidak meletakkannya sebagai pelumba Aprilia terbaik dengan pelumba 'Rookie' dari Jepun, Ai Ogura menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-5 bersama pasukan satelit Trackhouse Aprilia.

Menurut pelumba kelahiran Itali itu, apa yang berlaku adalah disebabkan dia tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melakukan ujian serangan masa dengan ujian pra-musim difokuskan untuk menguji komponen baharu dan membantu Aprilia menghadapi musim baharu 2025.

Tugas Bezzecchi juga menjadi lebih berat apabila rakan sepasukannya yang juga penyandang juara dunia, Jorge Martin mengalami kemalangan dan terlepas hampir keseluruhan ujian di Sepang dan Buriram.

Memulakan perlumbaan di petak ke-8, Bezzecchi percaya dia mampu mendapatkan keputusan lebih baik jika prestasinya ketika kelayakan lebih bagus.

"Pada akhirnya, ia tidak bertambah baik, tidak bertambah buruk," kata Bezzecchi. "Ia hampir seperti yang saya jangkakan pada permulaan musim. Untuk bercakap jujur, saya mahu melakukan yang lebih baik pada kelayakan.

"Tetapi serangan masa saya masih belum di tahap terbaik.

"Saya tidak melakukan begitu banyak serangan masa ketika ujian kerana komponen yang ingin kami uji, jadi kami tidak memberi tumpuan keapda perkara itu dan saya fikir ia memberi kesan sedikit kepada kami kerana kurang melakukan serangan masa ketika ujian.

"Ia adalah titik di mana saya paling perlu pertingkatkan."

Bezzecchi turut menjelaskan yang Aprilia RS-GP mempunyai karakter yang berbeza berbanding Ducati GP.

"Saya fikir saya perlu menunggang lebih menggunakan naluri berbanding apa yang saya biasa buat pada beberapa tahun sebelum ini, jentera tidak sentiasa membenarkan bagaimana saya menunggangnya ketika serangan masa.

"Jadi disebabkan itu kerana saya melakukan beberapa kesilapan kecil."