MARCO Bezzecchi Dedah Aprilia RS-GP Hadapi Isu di GP Austria
Pelumba kelahiran Itali, Marco Bezzecchi yang memulakan saingan di petak utama memimpin hampir keseluruhan perlumbaan di Red Bull Ring sebelum dipintas pelumba Marc Marquez pada pusingan ke-19 sebelum jatuh ke tempat ketiga selepas dipintas Fermin Aldeguer
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/18/20251 min read


PELUMBA Aprilia Racing, Marco Bezzecchi mengakui jenteranya Aprilia RS-GP berdepan sedikit isu yang menghalangnya untuk mengekang cabaran Marc Marquez ketika perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Austria 2025, semalam.
Pelumba kelahiran Itali itu yang memulakan saingan di petak utama memimpin hampir keseluruhan perlumbaan di Red Bull Ring sebelum dipintas pelumba Ducati Lenovo, Marquez pada pusingan ke-19 sebelum jatuh ke tempat ketiga selepas dipintas Fermin Aldeguer.
Sekalipun tidak menjelaskan secara terperinci masalah yang dialami, tapi ia diakui mengganggu fokusnya.
"Ia perlumbaan yang bagus,” kata Bezzecchi ketika sidang media selepas perlumbaan di Austria. "Saya sangat seronok. Saya kena akui, berlumba dengan pelumba-pelumba seperti ini memang sentiasa menarik.
"Malangnya, di pertengahan perlumbaan saya alami sedikit masalah dengan jentera dan terpaksa perlahankan sedikit kelajuan.
"Ketika itu, saya agak jauh dari Marc, saya tahu dia sedang kawal rentak, tapi saya pun tengah mengawal banyak perkara juga. Kemudian secara tiba-tiba dia mengejar saya dengan pantas, dan bila saya dengar bunyi jenteranya, saya tahu dia boleh memintas saya. Jadi saya cuba bertahan masa membrek, tapi tak cukup.
"Apabila dia memintas saya, saya cuba menyerang kembali, dan kami bertarung dengan sengit, tetapi sayangnya tak lama. Saya harap boleh buat 20 aksi pintas memintas lagi, tetapi akhirnya ia tidak menjadi seperti itu.
"Selepas Marc berada di depan, saya tengok papan pit dan nampak ‘1.7 Fermin’, dan pusingan lepas tu jadi 0.9. Masa tu saya kata, ‘Okay, sahih saya dapat tempat ketiga’.
Ketika ditemuramah dalam rancangan After the Flag MotoGP.com, Bezzecchi mengakui ia bukan masalah yang major.
"Saya melakukan kesilapan kecil, masuk satu selekoh dengan gear yang terlalu tinggi, dan terus hilang beberapa persepuluh saat. Saya cuba tenangkan diri semula, tapi bila Marc ada di belakang… memang susah nak bertenang."
