MARCO Bezzecchi Enggan Dabik Dada
Pelumba kelahiran Itali, Marco Bezzecchi tiba di pusingan Eropah dengan kelebihan empat mata di hadapan rakan sepasukan, Jorge Martin selepas pasukan dari Noale itu mempamerkan dominasi pada awal musim ini
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/24/20261 min read


PENDAHULU kejuaraan dunia MotoGP 2026, Marco Bezzecchi menyifatkan Grand Prix (GP) Sepanyol hujung minggu ini sebagai satu 'permulaan baharu' malah mengakui laluan sukar sedang menanti Aprilia di Litar Jerez.
Pelumba kelahiran Itali itu tiba di pusingan Eropah dengan kelebihan empat mata di hadapan rakan sepasukan, Jorge Martin selepas pasukan dari Noale itu mempamerkan dominasi pada awal musim ini.
Setakat ini, Aprilia dan Bezzecchi sudah menyapu bersih ketiga-tiga perlumbaan GP, dengan Bezzecchi merekodkan lima kemenangan berturut-turut pada hari Ahad serta mendahului 121 pusingan secara keseluruhan.
"Saya gembira untuk kembali ke Eropah, terutamanya di Jerez. Namun, ini ibarat satu permulaan baharu buat kejuaraan. Semua pelumba dan pengeluar mempunyai masa rehat yang cukup untuk memperbaiki jentera masing-masing, jadi ia pasti menjadi hujung minggu yang amat sukar," katanya.
Bezzecchi turut menjangkakan tentangan sengit daripada kem Ducati, apatah lagi susun atur Litar Jerez yang lebih pendek akan merapatkan lagi jurang persaingan sesama pelumba.
Tambahnya, pelumba seperti Marc Marquez, Alex Marquez, Fabio Di Giannantonio, Francesco Bagnaia dan Pedro Acosta pasti akan memberi ancaman di litar yang sangat menuntut pengurusan tayar yang cekap itu.
Walaupun jentera Aprilia RS-GP jelas memiliki kelebihan pada awal musim 2026 ini, Bezzecchi menolak untuk membuat sebarang perbandingan dengan jentera pengeluar lain.
Tegasnya, dia berasa sangat luar biasa bersama pasukannya ketika ini, namun tidak layak untuk menilai jentera lain memandangkan dia hanya menunggang mesin Aprilia.

