MARCO Bezzecchi Juara GP Brazil 2026, Aprilia 1,2
Begitupun, kemenangan Marco Bezzecchi dan kepulangan MotoGP ke bumi Brazil buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun dicemari dengan pelbagai masalah, bermula dengan insiden banjir awal minggu lalu sebelum kemunculan lubang benam di Litar Goiania pada Sabtu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/22/20262 min read


PELUMBA Aprilia, Marco Bezzecchi menampilkan tunggangan bertenga untuk mengungguli perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Brazil 2026 yang terpaksa disingkatkan akibat masalah degradasi permukaan litar, awal pagi tadi.
Kepulangan aksi MotoGP ke bumi Brazil buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun itu dicemari dengan pelbagai masalah, bermula dengan insiden banjir awal minggu lalu sebelum kemunculan lubang benam di Litar Goiania pada Sabtu.
Dan beberapa minit sebelum perlumbaan yang pada asalnya dijadualkan berlangsung sebanyak 31 pusingan itu bermula, penganjur perlumbaan secara tiba-tiba mengumumkan jarak saingan disingkatkan kepada 23 pusingan berikutan faktor kerosakan permukaan litar.
Meskipun berdepan pelbagai isu, perlumbaan tetap bermula seperti dirancang pada jam 3 petang waktu tempatan, menyaksikan Bezzecchi yang bermula dari petak kedua pantas memecut untuk merampas kedudukan pendahulu.
Selepas mengharungi sesi perlumbaan pecut yang sukar pada Sabtu, keputusan Bezzecchi mempertaruhkan tayar belakang jenis medium nyata membuahkan hasil apabila ia memberikannya kelebihan kelajuan yang ketara sebaik perlumbaan bermula.
Pelumba kelahiran Itali itu tidak menoleh ke belakang lagi apabila membuka jurang lebih satu saat hanya selepas beberapa pusingan, sebelum selesa melintasi garisan penamat dengan kelebihan 3.231 saat (s) di hadapan pencabar terdekat.
Kejayaan penuh bergaya itu merupakan kemenangan kedua Bezzecchi bagi kempen musim 2026, sekali gus melonjakkan dirinya ke tangga teratas kejuaraan dunia dengan kelebihan 11 mata.
Rakan sepasukannya, Jorge Martin turut cemerlang apabila melengkapkan penguasaan kedudukan 1-2 buat jentera Aprilia selepas meraih podium pertamanya sejak dinobatkan sebagai juara dunia pada GP Solidariti 2024.
Tempat ketiga menjadi milik pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio yang berjaya mengembalikan jentera pengeluar Itali itu ke pentas podium selepas rekod cemerlang 88 perlumbaan tanpa henti mereka tercalar di Thailand sebelum ini.
Kejayaan Di Giannantonio itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah apabila dia terpaksa mengharungi pertarungan sengit dengan juara dunia bertahan, Marc Marquez yang terlepas peluang menaiki podium susulan kesilapan di Selekoh 11 pada penghujung saingan.
Kesilapan itu membolehkan Marquez sekadar menamatkan saingan di tempat keempat, di hadapan pelumba Trackhouse Aprilia, Ai Ogura di kedudukan kelima, Alex Marquez (Gresini Ducati) keenam dan Pedro Acosta (KTM) yang perjudian tayar lembutnya tidak menjadi di tempat ketujuh.
Johann Zarco muncul pelumba terbaik Honda di tempat kesembilan mengekori rapat Fermin Aldeguer (Gresini Ducati), manakala nasib malang menimpa Pecco Bagnaia, Joan Mir, Jack Miller dan Brad Binder yang gagal menamatkan saingan akibat terjatuh.
Keputusan GP Brazil 2026
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP26), 30m 19.76s
Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP26), +3.231s
Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), +3.780s
Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), +4.089s
Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +8.403s
Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), +8.918s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +10.687s
Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP25), +11.359s
Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +12.907s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +16.370s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +18.529s
Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +19.980s
Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V), +21.322s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +22.699s
Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +23.840s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +26.403s
Toprak Razgatlioglu (TUR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +30.287s
Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +36.397s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), DNF
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), DNF
Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), DNF

