MARCO Bezzecchi Ketuai Penaklukan Aprilia, Martin Rampas Kembali Carta Teratas

Kemenangan jelas menjadi medan kebangkitan gemilang buat Marco Bezzecchi yang menempuh kempen mencabar sejak kali terakhir memenangi perlumbaan di Mugello pada penghujung Mei lalu selain melupakan kekecewaan selepas terjatuh pada Perlumbaan Sprint

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/11/20261 min read

APRILIA mengganas di GP Indonesia 2026 diketuai pelumba Itali, Marco Bezzecchi selepas merangkul kejayaan 1-2-3 di Mandalika manakala penamat di tempat ke-3 menyaksikan Jorge Martin kembali menerajui carta kedudukan kejuaraan MotoGP dunia.

Kemenangan jelas menjadi medan kebangkitan gemilang buat Bezzecchi yang menempuh kempen mencabar sejak kali terakhir memenangi perlumbaan di Mugello pada penghujung Mei lalu selain melupakan kekecewaan selepas terjatuh pada Perlumbaan Sprint.

Ia adalah kemenangan ke-5 buat Bezzecchi musim ini yang berjaya menafikan pelumba pasukan Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez yang bermula dari petak pertama untuk terpaksa berpuas hati sebagai naib juara.

Tetapi pujian harus diberikan kepada Fernandez yang terpaksa menahan kesakitan akibat patah jari kanan susulan kemalangan dengan Bezzecchi, semalam.

Buat Martin, keputusan di Mandalika menyaksikan dia kembali merampas kedudukan teratas yang sebelum ini menjadi milik pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez dengan kelebihan 2 mata.

Marquez yang tidak pernah menamatkan perlumbaan MotoGP di Mandalika akhirnya berjaya melakukannya namun melepasi garisan penamat di tempat ke-6.

Aprilia dalam pada itu bukan sekadar merangkul kedudukan 1-2-3, namun turut tempat ke-4 menerusi rakan sepasukan Fernandez, Ai Ogura.

Ia adalah kejayaan 1-4 pertama buat pengeluar Itali itu dalam sejarah MotoGP.

Pelumba bintang KTM, Pedro Acosta memanamtkan perlumbaan di tempat ke-5 dan antara pelumba yang tak menghabiskan perlumbaan adalah Pecco Bagnaia, Jack Miller dan Fermin Aldeguer.