MARCO Bezzecchi Menang Perlumbaan Penuh 'Drama' Di Silverstone

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/25/20252 min read

PELUMBA Aprilia Racing, Marco Bezzecchi menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) British 2025 yang menyaksikan Silverstone padat dengan drama, hari ini.

Ia adalah kemenangan pertama pelumba Itali itu sejak kali terakhir menjuarai perlumbaan GP pada 2023 di GP India bersama pasukan VR46 Ducati.

Kegembiraan buat Aprilia itu begitupun duka buat pasukan Monster Yamaha khususnya pelumba bintangnya, Fabio Quartararo yang terlepas kemenangan selepas jenteranya berdepan masalah mekanikal.

Apa yang menyakitkan, Quartararo sebelum ditimpa malang sedang memimpin perlumbaan dengan kelebihan hampir 5 saat di depan Bezzecchi yang ketika itu berada di kedudukan kedua.

Sebelum situasi menyedihkan itu berlaku, aksi di Silverstone diwarnai dengan kemalangan seawal selekoh pertama oleh pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez yang ketika itu mendahului perlumbaan.

Dan situasi itu turut menimpa abangnya, Marc Marquez dari Ducati Lenovo pada pusingan kedua juga dalam keadaan sedang memimpin perlumbaan.

Tetapi disebabkan kibaran bendera merah akibat kemalangan yang menimpa Franco Morbidelli dan Aleix Espagaro, kedua-dua pelumba kembali ke grid selepas perlumbaan dimulakan semula sebanyak 19 pusingan.

Pada perlumbaan yang dimulakan semula itu, situasi malang menimpa naib juara musim lalu, Francesco Bagnaia apabila dia terjatuh dengan kemalangan dapat dilihat memberi kesan kepada adik beradik Marquez.

Situasi itu dimanfaatkan Quartararo, Bezzecchi dan pelumba LCR Honda, Johann Zarco untuk mencabar kemenangan sebelum malang menimpa juara dunia MotoGP 2021 itu.

Bagi Bezzecchi, ia adalah kemenangan sulungnya bersama Aprilia pada musim debutnya bersama pengeluar Itali itu musim ini dengan Aprilia kembali bergelar juara selepas kali terakhir meraihnya pada tahun lalu di GP Amerika Syarikat.

Sementara itu, beberapa pelumba termasuk pelumba Honda, Luca Marini, Enea Bastianini, Lorenzo Savadori dan Somkiat Chantra dikenakan penalti 16 saat susulan pelanggaran peraturan perlumbaan.

Keputusan itu menyaksikan Marini yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-8 jatuh ke tangga ke-15 dan sekadar meraih satu mata dengan tidak perubahan buat Bastianini, Savadori dan Chantra yang sudah pun menjadi tiga pelumba tercorot.

Zarco dalam pada itu menamatkan perlumbaan sebagai naib juara, kejayaan podium berturut-turut buatnya dengan Marc melengkapkan kedudukan podium.

Apa yang menarik, kemenangan Bezzecchi menyaksikan Silverstone meneruskan tradisi yang menyaksikan 11 pemenang berbeza direkodkan dalam tempoh 11 tahun.

Morbidelli yang turut menjadi pelumba 'terselamat' dan dapat memulakan perlumbaan menamatkan saingan di tempat ke-4 diikuti Alex, kelima dan pelumba terbaik KTM, Pedro Acosta di kedudukan ke-6.

Keputusan GP British 2025

  1. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP25), 38m 16.037s

  2. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +4.088s

  3. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP25), +5.929s

  4. Franco Morbidelli (ITA) VR46 Ducati (GP24), +5.946s

  5. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP24), +6.024s

  6. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +7.109s

  7. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), c+7.398s

  8. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati (GP24)*, +8.584s

  9. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +9.764s

  10. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), +10.320s

  11. Maverick Vinales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +11.318s

  12. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +16.175s

  13. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +16.312s

  14. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +16.262s

  15. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +23.729s

  16. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +31.641s

  17. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +54.225s

  18. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), +56.488s

  19. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +64.884s

Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), DNF

Aleix Espargaro (SPA) Honda Test Team (RC213V), DNF

* Rookie