MARCO Bezzecchi Mengganas Di COTA

Jagoan Aprilia Racing, Marco Bezzecchi meneruskan rentak luar biasa pada awal musim MotoGP 2026 apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut perlumbaan utama Grand Prix (GP) dengan menakluk GP Amerika Syarikat di COTA, awal pagi tadi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/30/20262 min read

JAGUH Aprilia Racing, Marco Bezzecchi meneruskan rentak luar biasa pada awal musim MotoGP 2026 apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut perlumbaan utama Grand Prix (GP) dengan menakluk GP Amerika Syarikat (AS) di Litar of the Americas (COTA), awal pagi tadi.

Lebih mengagumkan, tunggangan dominan ditampilkan pelumba kelahiran Itali itu apabila dia memimpin setiap pusingan perlumbaan sekali gus memadam rekod milik legenda MotoGP Sepanyol, Jorge Lorenzo.

Bezzecchi melengkapkan pusingannya yang ke-104 berturut-turut sebagai pendahulu perlumbaan pada pusingan ketiga, sekali gus memintas rekod 103 pusingan yang dipegang Lorenzo sebelum ini.

Perlumbaan bermula mendebarkan apabila pelumba KTM, Pedro Acosta memecut laju untuk merampas kedudukan pendahulu tetapi kesilapannya yang terkeluar dari garisan perlumbaan di Selekoh 11 memberi ruang buat Bezzecchi merapatkan kedudukan.

Kedua-dua jentera bersentuhan ketika berebut garisan perlumbaan menyaksikan Acosta hampir terjatuh di laluan lurus sebelum Bezzecchi berjaya mengambil alih pimpinan perlumbaan dan terus mendominasi saingan.

Dominasi kem Aprilia semakin terserlah apabila rakan sepasukan Bezzecchi, Jorge Martin menamatkan perlumbaan di tempat ke-2, kedudukan yang diperolehnya pada pusingan ke-14 selepas Acosta sekali lagi terkeluar laluan di Selekoh 1.

Keputusan itu menghadiahkan penamat 1-2 buat pasukan Aprilia Racing, manakala Acosta terpaksa berpuas hati melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga.

Sementara itu, juara dunia sembilan kali, Marc Marquez dari Ducati Lenovo yang terpaksa menjalani hukuman penalti 'long lap' menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 di belakang pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.

Melengkapkan senarai 10 teratas adalah pelumba Tech3 KTM, Enea Bastianini (ke-6), pelumba Gresini Ducati Alex Marquez (ke-7), jagu Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez (ke-8), Luca Marini dari Honda HRC (ke-9) dan Pecco Bagnaia (Ducati Lenovo) di kedudukan ke-10.

Turut menarik adalah adalah pelumba Pramac Yamaha, Toprak Razgatlioglu menamatkan kemarau pungutan mata selepas menamatkan perlumbaan di keduudkan ke-15.

Keputusan perlumbaan MotoGP GP AS 2026

  1. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP26), 40m 50.653s

  2. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP26), +2.036s

  3. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +4.497s

  4. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), +6.972s

  5. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), +8.100s

  6. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +8.243s

  7. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), +11.253s

  8. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +13.129s

  9. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +14.471s

  10. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), +14.544s

  11. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP25), +21.063s

  12. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +22.062s

  13. Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V), +22.201s

  14. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +24.371s

  15. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +25.549s

  16. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +26.309s

  17. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +27.136s

  18. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +38.701s

Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), DNF

Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF