MARCO Bezzecchi Mengganas Di GP Thailand, Tiada Ducati Di Podium

Bermula di petak utama, Marco Bezzecchi langsung tidak memberi peluang kepada pencabarnya dengan memimpin perlumbaan sejak awal dan melepasi garisan penamat lebih 5 saat di depan pemenang tempat kedua, Pedro Acosta dari Red Bull KTM

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/1/20262 min read

APRILIA Racing menerusi pelumba bintangnya, Marco Bezzecchi mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menjuarai perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Thailand 2026 yang turut menyaksikan penyandang juara dunia, Marc Marquez terkeluar akibat masalah tayar.

Bermula di petak utama, Bezzecchi langsung tidak memberi peluang kepada pencabarnya dengan memimpin perlumbaan sejak awal dan melepasi garisan penamat lebih 5 saat di depan pemenang tempat kedua, Pedro Acosta dari Red Bull KTM.

Seorang lagi pelumba Aprilia, Raul Fernandez yang berlumba bersama pasukan Trackhouse Aprilia melengkapkan kedudukan podium.

Kemenangan pada perlumbaan pembuka tirai MotoGP itu turut menebus kekecewaan buat Bezzecchi yang terjatuh ketika mendahului perlumbaan Sprint pada Sabtu selain menjadi pelumba Aprilia pertama memenangi tiga perlumbaan berturut-turut.

Bagi Acosta, kemenangan pada Perlumbaan Sprint dan tempat ke-2 menyaksikannya kini menghuni kedudukan pendahulu kejuaraan.

Melengkapkan kempen cemerlang buat Aprilia adalah Jorge Martin (Aprilia Racing) dan Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) yang masing-masing menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 dan ke-5.

Sebaliknya, ia menjadi mimpi ngeri buat kem Ducati apabila rekod cemerlang mereka menaiki podium dalam 88 perlumbaan berturut-turut akhirnya lebur.

Bergelut sejak awal perlumbaan, Marquez yang masih berpeluang merebut tempat ketiga berdepan situasi malang apabila tayar belakang jentera Ducati GP26 miliknya secara tiba-tiba pecah selepas melepasi Selekoh 4 pada pusingan ke-21.

Insiden itu nyaris mengakibatkan juara dunia sembilan kali itu terpelanting daripada jenteranya susulan tindakan aksi menyelamat yang dilakukannya.

Turut berdepan masalah sama adalah pelumba Honda HRC, Joan Mir yang turut terpaksa meninggalkan perlumbaan beberapa pusingan.

Pelumba terbaik Ducati pada perlumbaan itu disandang oleh wakil VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio yang menamatkan saingan di tempat ke-6, ketinggalan 16.8 saat di belakang Bezzecchi selepas berjaya menahan asakan pelumba KTM, Brad Binder.

Rakan sepasukan Di Giannantonio, Franco Morbidelli pula bertindak cemerlang merampas kedudukan ke-8 daripada Pecco Bagnaia pada selekoh terakhir perlumbaan.

Sementara itu, Luca Marini muncul pelumba terbaik Honda di kedudukan ke-10, diikuti rapat oleh Johann Zarco (LCR), Enea Bastianini (Tech3 KTM), pelumba muka baharu LCR Diogo Moreira, serta gandingan Yamaha, Fabio Quartararo dan Alex Rins yang melengkapkan senarai pungutan mata.

Dalam pada itu, Toprak Razgatlioglu menamatkan perlumbaan sulungnya di kedudukan ke-17 di hadapan rakan sepasukan Pramac, Jack Miller, manakala naib juara musim lalu Alex Marquez (Gresini Ducati) gagal menamatkan saingan selepas terjatuh pada penghujung aksi.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Thailand 2026

  1. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing (RS-GP26), 39m 36.27s

  2. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +5.543s

  3. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +9.259s

  4. Jorge Martin (SPA) Aprilia Racing (RS-GP26), +12.182s

  5. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP26), +12.411s

  6. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP26), +16.845s

  7. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +17.363s

  8. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +18.227s

  9. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP26), +18.340s

  10. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +19.101s

  11. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +19.903s

  12. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +23.386s

  13. Diogo Moreira (BRA) Pro Honda LCR (RC213V), +24.686s

  14. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +30.823s

  15. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +32.955s

  16. Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +36.545s

  17. Toprak Razgatlioglu (TUR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +39.194s

  18. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +47.848s

  19. Michele Pirro (ITA) BK8 Gresini Ducati (GP25), +63.598s

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF

Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP26), DNF

Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo (GP26), DNF