MARCO Bezzecchi Pilih Kekal Bersama VR46 MotoGP Musim 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/31/20231 min read
TIADA kejutan membabitkan Marco Bezzecchi berlaku apabila pelumba kelahiran Itali itu membuat keputusan untuk kekal bersama pasukan milik legenda MotoGP, Valentino Rossi, VR46 Ducati bagi musim 2024.
Perkembangan mengenai situasi berkenaan dibuat agak unik, menerusi hantaran video di laman sosial yang menunjukkan Bezzecchi menandatangani sesuatu sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.
Selepas memenangi dua perlumbaan pada musim ini dan menghuni tangga ketiga pemburuan kejuaraan keseluruhan, Bezzecchi muncul sebagai pelumba 'hangat' di pasaran dan berdepan kesulitan sama ada kekal bersama VR46 atau menyertai Pramac bagi musim depan.
Di VR46, dia berkemungkinan akan menggunakan jentera lebih 'berusia' berbanding Pramac yang menggunakan jentera terbaharu daripada Ducati.
"Saya amat gembira untuk mengesahkan yang pada 2024, saya akan berada di litar bersama pasukan Mooney VR46 Racing," kata Bezzecchi. "Pasukan ini mata penting untuk karier saya sehingga kini dan juga untuk masa depan saya.
"Saya tiba di sini pada 2020, dalam Moto2, dan kami kemudian bersama-sama menyertai MotoGP bagi 2022 dan tahun ini kami mengharungi musim yang menakjubkan setakat ini.
"Terus meningkat sebagai pasukan, dengan sokongan daripada Ducati, adalah pilihan paling baik untuk saya."
Ketika ditanya oleh Crash.net sama ada Bezzecchi akan menunggang jentera GP23 musim depan, jawapan daripada VR46 adalah: "Ketika ini, ya."
Kenyataan itu sekaligus memberi petanda peluang untuk pasukan itu menggunakan jentera terbaharu Ducati MotoGP bagi musim 2024 tipis.
"Tahun 2024 memberikan banyak jangkaan, tetapi ketika ini saya mahu fokus kepada musim ini," kata Bezzecchi. "Kami ketika ini bertarung untuk podium dalam kejuaraan, kami masih bertarung untuk kategori Pengeluar bersama Luca (Marini) dan saya yakin semua orang dalam pasukan akan memberikan segala-galanya, lebih daripada yang mereka lakukan sekarang untuk mencapai sasaran ini.
"Terima kasih kepada Vale, Uccio, Pablo, pelumba akademi VR46 dan semua yang menjadikan ini satu kenyataan. Kekal bersama pasukan Vale adalah motivasi yang hebat selain satu kebanggaan," katanya.