MARCO Bezzecchi Rasmi 'Diikat' Aprilia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/24/20241 min read

APRILIA melengkapkan senarai pelumbanya dalam pasukan 'kilangnya' di MotoGP musim depan dengan mengesahkan khidmat pelumba berbakat 'keluaran' Akademi VR46, Marco Bezzecchi.

Bezzecchi yang menamatkan kempen MotoGP musim lalu di tangga ketiga akan menyertai naib juara musim lalu, Jorge Martin bersama pasukan pengeluar Itali itu.

Aprilia kehilangan kedua-dua pelumbanya musim ini - Aleix Espargaro yang mengumumkan persaraan selain penghijrahan mengejut Maverick Vinales ke pasukan satelit KTM, Tech3 KTM.

Pelumba kelahiran Itali, Bezzecchi memulakan kerjayanya di MotoGP bersama pasukan mentornya, Valentino Rossi iaitu VR46 Ducati pada musim 2022 dan sudah mengumpul tiga kemenangan dalam kelas elit itu.

Ketika meraih tempat ketiga di belakang Martin dan rakan seperguruannya Francesco Bagnaia musim lalu, Bezzecchi menggunakan jentera Ducati GP22 tetapi GP23 yang ditunggangnya musim ini tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan.

Bezzecchi pada musim lalu ditawarkan tempat bersama pasukan satelit rasmi Ducati, Pramac Racing namun menolaknya untuk kekal bersama VR46.

Dan pelumba berusia 25 tahun itu jelas tidak lagi mahu menunggu dan memilih Aprilia yang turut dilihat memiliki jentera yang cukup kompetitif untuk mencabar kejuaraan.

Pelumba dengan julukan Bez itu akan menjadi pelumba Itali pertama menyertai senarai pelumba pengeluar berpangkalan di Noale itu sejak 2020.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia, Massimo Rivola, gandingan Martin-Bezzecchi adalah pilihan utama pasukan itu.

"Selamat datang untuk salah seorang bakat terbaik Itali, yang sudah menunjukkan nilainya sejak melakukan debut pada kategori lebih rendah dan terutama sekali pada kempen MotoGP tahun lalu, dengan prestasi yang menakjubkan malah turut mendapat kemenangan yang cukup hebat," kata Rivola.

"Kami tidak sabar untuk memiliki Bez di Noale, gandingan jentera Itali dan pelumba Itali sememangnya mengujakan, tetapi apa yang lebih utama adalah gandingan pelumba yang dibentuk bersama Martin.

"Kami amat gembira dengan senarai pelumba kami bagi 2025, Martin dan Bezzecchi adalah pilihan pertama kami disebabkan usia, bakat, kecekalan dan ketabahan mereka.

"Bersama mereka kami boleh menulis babak baharu dan penting dalam sejarah Aprilia Racing," kata Rivola.

Seperti Martin, Bezzecchi adalah pelumba yang cuba dipikat Aprilia ketika di MotoGP dan kontrak yang ditawarkan adalah selama beberapa tahun.