MARCO Bezzecchi Tak Puas Hati Prestasi Desmosedici GP23
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/9/20241 min read
TIDAK seperti musim lalu yang menyaksikan Marco Bezzecchi pulang dari Malaysia dengan 'Senyuman lebar' selepas ujian rasmi pra-musim MotoGP, sebaliknya berlaku kepada pelumba berpotensi besar dari Itali itu untuk sesi kali ini.
Tiba di Sepang dengan status sebagai pencabar kejuaraan dunia musim lalu menunggang jentera setahun lebih tua, banyak tumpuan diberikan kepada Bezzecchi yang menguji jentera juara Desmosedici GP23.
Begitupun, segala-galanya seperti tidak menjadi buat pelumba kelahiran Itali itu pada edisi kali ini yang berakhir, semalam malah mengakui banyak kerja yang perlu dilakukan olehnya terutama di Qatar nanti.
Secara keseluruhan, pelumba dengan panggilan Bez itu sekadar melakukan catatan ke-17 terpantas, dan anehnya 1.3 saat lebih lambat berbanding masa yang dilakukan juara dunia Francesco Bagnaia.
"Tidak. Ketika ini tidak," kata Bezzecchi ketika ditanya sama ada dia puas hati dengan ujian yang diperolehnya. "Semalam (kelmarin) saya merasa sedikit baik.
"Pada hari ini kami banyak bergelut dan tersesat selepas mencuba pelbagai perkara. Kami memutuskan untuk kembali dan cuba memulakannya semula tetapi saya masih tidak merasa begitu baik dengan jentera.
"Jentera ini memiliki enjin yang berbeza dan cara berbeza untuk berhenti. Saya banyak bergelut untuk berhenti berbanding dengan jentera lama saya dan saya tidak percaya bahagian depan dengan cara yang sama.
"Saya juga bergelut untuk menjinakkan kuasa jentera ini. Enjin ini 'bekerja' dengan cara yang berbeza jadi secara keseluruhan saya bergelut ketika masuk dan keluar selekoh.
"Kami akan mencari jalan untuk bertambah baik. Ia hanya ujian yang pertama," kata anak didik Rossi itu yang menyatakan masalah itu sudah dirasainya ketika di Valencia sebelum ini.
Musim lalu, Bezzecchi menamatkan kempen di tangga ketiga keseluruhan selepas memenangi tiga perlumbaan utama dan satu perlumbaan Sprint sebelum dipalit kecederaan.