MARCO Bezzecchi Takluk Aksi Sprint Di Valencia, Jentera Marc Marquez Terbakar
Kemenangan pelumba Itali itu bagaimanapun dibayangi insiden yang menimpa penyandang juara dunia, Marc Marquez yang terpaksa berputih mata tanpa sebarang mata selepas terpaksa mengharungi penalti selepas jenteranya terbakar di petak permulaan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/28/20261 min read


PELUMBA pasukan 'kilang' Aprilia di MotoGP, Marco Bezzecchi mempamerkan penguasaan mutlak untuk menjuarai perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Valencia 2026 penuh dramatik di Litar Ricardo Tormo, hari ini.
Kemenangan pelumba Itali itu bagaimanapun dibayangi insiden yang menimpa penyandang juara dunia, Marc Marquez yang terpaksa berputih mata tanpa sebarang mata selepas terpaksa mengharungi penalti selepas jenteranya terbakar di petak permulaan.
Perlumbaan Sprint penutup musim 2026 yang sepatutnya berlangsung 13 pusingan pada awalnya terpaksa dipendekkan kepada 12 pusingan selepas sesi pelepasan awal dibatalkan akibat masalah teknikal pada sistem lampu isyarat perlumbaan.
Ketika pembatalan itu berlaku, jentera Ducati milik Marquez secara tiba-tiba dijilat api, sekali gus memaksa pelumba kelahiran Sepanyol itu bergegas ke garaj untuk menukar kepada jentera kedua bagi perlumbaan yang dimulakan semula.
Tindakan menukar jentera itu mengundang padah apabila Marquez dikenakan hukuman penalti 'long lap' berganda, memandangkan peraturan tegas perlumbaan melarang mana-mana pelumba meninggalkan petak pelepasan untuk menukar motosikal atas sebarang alasan.
Bezzecchi memanfaatkan sepenuhnya kekalutan itu apabila mengekalkan kelebihan petak utama untuk mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat dengan jurang selesa 2.9 saat bagi merangkul kemenangan Sprint keduanya musim ini.
Rakan sepasukannya, Jorge Martin menamatkan saingan di tempat ke-2 untuk menghadiahkan penamat 1-2 buat Aprilia, manakala pelumba Tech3 KTM, Enea Bastianini melengkapkan kedudukan podium di tangga ke-3.
Keputusan itu membolehkan Aprilia melebarkan jurang kepada 15 mata di hadapan Ducati dalam carta kejuaraan kategori pengeluar, biarpun Martin tergelincir ke kedudukan ke-3 dalam carta kedudukan keseluruhan kategori pelumba menjelang perlumbaan utama.

