MARCO Bezzecchi Ungguli GP Portugal 2025

Kemenangan di Portimao adalah yang kedua buat Marco Bezzecchi pada musim ini yang menyaksikannya memulakan perlumbaan dari petak utama tidak pernah melepaskan kedudukan pendahulu selepas berjaya menangkis serangan awal Pedro Acosta dari Red Bull KTM di selekoh pertama

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/9/20252 min read

JAGOAN Aprilia Racing, Marco Bezzecchi mempamerkan prestasi dominan di Grand Prix (GP) Portugal 2025 sekali gus merangkul kemenangan keduanya di pentas MotoGP pada musim ini, hari ini.

Bezzecchi yang bermula dari petak utama tampil cemerlang apabila tidak pernah melepaskan kedudukan pendahulu selepas berjaya menangkis serangan awal Pedro Acosta dari Red Bull KTM di selekoh pertama.

Selepas kuat dihambat Acosta diikuti pelumba Gresini Ducati, Alex Marquez berjaya menjarakkan diri pada pertengahan perlumbaan sebelum menamatkan saingan 25 pusingan dengan catatan masa 41 minit 13.616 saat (s).

Tempat kedua menjadi milik Marquez yang sebelum ini menewaskan Bezzecchi dan Acosta dalam perlumbaan Sprint pada Sabtu.

Tetapi tidak seperti semalam, Marquez tidak berjaya mengekalkan rentak dan mula ketinggalan selepas pertengahan perlumbaan, sebelum menamatkan saingan +2.583s di belakang Bezzecchi.

Acosta yang turut berada di podium Sprint, melengkapkan kedudukan tiga teratas dengan perbezaan +3.188s.

Kemenangan ini meletakkan Bezzecchi semakin hampir untuk menamatkan musim di tempat ketiga keseluruhan, selepas pencabar terdekatnya, Francesco Bagnaia daripada Ducati Lenovo terbabas ketika berada di kedudukan keempat.

Fermin Aldeguer (Gresini Ducati) mencuri tumpuan menamatkan perlumbaan di tempat ke-4 sekali pun bermula di petak ke-11 dan turut terbabit kemalangan dengan pelumba Red Bull KTM, Brad Binder yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima.

Fabio Quartararo (Monster Yamaha) pula berjaya mempertahankan kedudukan keenam daripada tekanan Ai Ogura (Trackhouse Aprilia) dan Fabio Di Giannantonio (Pertamina VR46 Ducati).

Pelumba tuan rumah, Miguel Oliveira (Pramac Yamaha) yang menerima sorakan gemuruh di grid permulaan dalam perlumbaan terakhirnya di tanah air, dan menamatkan saingan di tempat ke-14.

Sementara itu, pelumba gantian Ducati, Nicolo Bulega (Ducati Lenovo), yang menggantikan juara dunia Marc Marquez, berjaya mengutip mata pertamanya di tempat ke-15 selepas terjatuh dalam perlumbaan Sprint.

Keputusan perlumbaan utama MotoGP Portugal 2025

  1. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing, 41m 13.616s

  2. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +2.583s

  3. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM (RC16), +3.188s

  4. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati (GP24), +12.860s

  5. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +16.327s

  6. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +18.442s

  7. Ai Ogura (JPN) Trackhouse Aprilia (RS-GP25), +19.255s

  8. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP25), +20.612s

  9. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR (RC213V), +21.040s

  10. Pol Espargaro (SPA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +26.517s

  11. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol (RC213V), +28.226s

  12. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha (YZR-M1), +29.717s

  13. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha (YZR-M1), +30.372s

  14. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha (YZR-M1), +31.621s

  15. Nicolo Bulega (ITA) Ducati Lenovo (GP25), +32.072s

  16. Lorenzo Savadori (ITA) Aprilia Factory (RS-GP25), +39.869s

  17. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR (RC213V)*, +61.999s

  18. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3 (RC16), +2 laps

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP25), DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol (RC213V), DNF

Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati (GP24), DNF