MARCO Bezzecchi Ungguli Hari Pertama GP Indonesia 2025, Marquez, Bagnaia 'Sangkut'!
Duo Ducati Lenovo iaitu juara dunia sembilan kali, Marc Marquez dan juara dunia tiga kali, Francesco Bagnaia tidak berjaya mencatat masa dalam kelompok 10 terbaik ketika sesi Latihan dan terlepas tiket terus ke Q2
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/3/20251 min read


JAGUH Aprilia Racing, Marco Bezzecchi mencuri tumpuan pada hari pembukaan Grand Prix (GP) Indonesia 2025 apabila mencatat masa terpantas pada sesi Latihan MotoGP sekali gus mengetuai senarai 10 pelumba layak terus ke Kelayakan 2 (Q2), esok.
Bezzecchi yang tampil dengan persembahan baik sejak sesi pagi, terus mempamerkan prestasi konsisten dengan catatan terpantas 1 minit 29.240 saat (s) di Litar Mandalika yang mencabar dengan suhu trek mencecah 55 darjah Celsius dan kelembapan 69 peratus.
Pelumba Gresini Ducati yang juga rookie pada musim ini, Fermin Aldeguer catat masa kedua terpantas ketinggalan 0.408s.
Pedro Acosta dari Red Bull KTM mencatatkan masa ketiga terpantas, ketinggalan 0.424s.
Apa yang mengejutkan, juara dunia MotoGP yang baru dinobat Marc Marquez (Ducati Lenovo) tidak berada dalam senarai kelompok 10 terbaik.
Situasi itu berlaku selepas juara dunia sembilan kali itu mengalami dua insiden termasuk satu ‘highside’ menakutkan.
Turut mengalami nasib sama adalah rakan sepasukannya, Francesco Bagnaia yang turut bergelut dan sekadar melakukan catatan ke-17 terpantas dengan kedua-duanya terpaksa mengharungi sesi Kelayakan 1 (Q1).
Turut berjaya menempatkan diri ke Q2 secara terus adalah Luca Marini (Honda HRC), Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia), Joan Mir (Honda HRC), Fabio Quartararo dan Alex Rins (Monster Yamaha), serta Miguel Oliveira (Pramac Yamaha) dan Alex Marquez (Gresini Ducati).
Beberapa insiden lewat sesi yang membabitkan Alex Marquez, Enea Bastianini dan Johann Zarco turut menyebabkan bendera kuning dikibarkan YANG mengganggu percubaan terakhir pelumba lain.
Keputusan Sesi Latihan Jumaat GP Indonesia 2025
Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing, 1'29.240s
Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati, +0.408s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM, +0.424s
Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol, +0.490s
Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia, +0.493s
Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol, +0.528s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha, +0.597s
Alex Rins (SPA) Monster Yamaha, +0.628s
Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha, +0.690s
Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati, +0.745s
Ke-Q1
Marc Marquez (11), Franco Morbidelli (12), Brad Binder (13), Johann Zarco (14), Enea Bastianini (15), Jack Miller (16), Francesco Bagnaia (17), Fabio Di Giannantonio (18), Maverick Viñales (19), Somkiat Chantra (20)
