'MARSHAL GP Indonesia Tak Guna Alat Pemadam Api Yang Betul'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/1/20241 min read


MARC Marquez mendakwa marshal di Grand Prix Indonesia tidak menggunakan alat pemadam api yang betul ketika cuba memadamkan jentera Ducati GP23 miliknya yang terbakar ketika perlumbaan.
Justeru menurut Marquez, situasi itu menyebabkan jenteranya yang sudah mengalami kerosakan 'musnah sepenuhnya' dan mengakibatkan kerugian jutaan dolar.
Memulakan perlumbaan di petak ke-12, juara dunia lapan kali itu bersaing sengit untuk memburu tempat terbaik tetapi ketika di pusingan ke-12, dan di posisi ketujuh, enjin Ducati GP23 miliknya mengalami kerosakan.
Ia memaksa pelumba Sepanyol itu meletakkan jenteranya di tepi litar dengan api dapat dilihat keluar daripada jenteranya tetapi kerosakan yang sudah pun berlaku ditambah dengan penggunaan alat pemadam api yang tak betul untuk mengawal situasi.
"Sudah tentu ada bunyi yang bising keluar daripada jentera dan enjin turut berhenti," kata Marquez ketika bercakap mengenai situasi yang memaksanya menghentikan perlumbaan.
"Tetapi apabila saya melihat asap putih, saya dengan pantas memeriksanya dan sesuatu yang malang juga adalah disebabkan oleh alat pemadam api, apa yang mereka gunakan di sini bukan yang tepat dan jentera musnah sepenuhnya, segala-galanya termasuk brek.
"Ia mengecewakan untuk pasukan kerana untuk pasukan persendirian ia adalah kos yang besar. Tetapi perkara yang utama adalah alat pemadam api perlu menggunakan yang tepat, atau dengan teknologi terkini kerana jika tidak, kamu akan merosakkan jentera."
Menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' menyaksikan Marquez ketika ini ketinggalan 78 mata daripada pendahulu kejuaraan, Jorge Martin daripada Pramac Racing berbaki lima pusingan.
