PEMENANG Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Australia 2024, Jorge Martin mengakui sedikit bimbang dengan tekanan lewat yang diberikan Marc Marquez ketika tampil mendominasi aksi di Phillip Island, hari ini.
Pelumba Pramac Ducati itu mengungguli sesi kelayakan untuk memulakan perlumbaan di petak utama. Dan kelebihan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan pendahulu kejuaraan itu memimpin perlumbaan dari awal sehingga garisan penamat.
Marquez sepatutnya dilihat mampu mencetuskan lebih bimbang buat Martin tetapi kesilapan yang dilakukannya ketika selekoh 1 di awal perlumbaan membuatkannya jatuh ke kedudukan ke-8.
Begitupun, pelumba Gresini Ducati itu berjaya bangkit sehingga mengisi kedudukan kedua sebelum melancarkan serangan lewat ke atas Martin.
Sekalipun Martin tampak tenang mengawal keadaan dan melepasi garisan penamat 1.520 saat (s) di depan Marquez, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui bimbang dengan tekanan yang diberikan juara dunia lapan kali itu.
"Saya amat gembira. Perasaannya sama seperti musim lalu, tetapi lebih sedikit," kata Martin kepada TNT Sport.
"Sudah tentu, ketika ini Marc dari sudut kepantasan amat setara dengan saya tetapi dia kurang bernasib baik pada awal perlumbaan.
"Jadi saya fikir esok pasti sukar. Tetapi hari ini saya mahu menikmatinya. Saya merasa cukup baik," kata Martin.
Mengulas lanjut, Martin turut mengakui keadaan angin di Phillip Island yang tidak konsisten turut menambah kesukarannya tetapi tekanan yang diberikan lebih 'membimbangkan'.
"Sudah tentu, apabila Marc berada di tempat kedua, saya mempunyai kelebihan 3 saat tetapi saya terus memberikan tekanan sehingga saya memperoleh 3.5 saat," kata Martin.
"Kemudian saya berkata 'Ok', ia sudah cukup'. Saya agak takut mengenai Marc kerana masih ada tiga pusingan, tiga saat, mungkin dia adalah pelumba yang mampu mengejar saya.
"Tetapi saya berjaya meningkatkan kelebihan itu, jadi saya daripada itu saya cuba untuk mengekalkannya sehingga penamat."