MASA Saya Akan Tiba - Hakim Danish

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20251 min read

DUA keputusan naib juara pada pusingan pembukaan Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 di Jerez, Sepanyol pada hujung minggu lalu meletakkan pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli sebagai pendahulu kejuaraan tetapi keputusan itu jelas belum memuaskan hatinya.

Selepas bersaing sengit dengan pelumba Sepanyol, Brian Uriarte pada Perlumbaan 1 dan hanya dibezakan 0.037 saat (s), aksi sama sengit turut berlangsung pada Perlumbaan 2 dengan Hakim Danish bersaing dengan pelumba Australia, Carter Thompson.

Dan sekali lagi Hakim Danish terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan sebagai naib juara dengan perbezaan masa lebih kecil, 0.031s di garisan penamat.

Begitupun, dua keputusan naib juara berjaya meletakkan pelumba berusia 17 tahun itu sebagai pendahulu carta kejuaraan RBMRC musim ini selepas mengumpul keseluruhan 40 mata.

Thompson mengekori rapat di tangga kedua dengan mengumpul 38 mata diikuti Uriarte di kedudukan ketiga dengan 25 mata.

"Bagus untuk kembali ke podium. Saya merasa cukup selesa dengan keadaan jentera dan cuba untuk menguruskan perlumbaan dan bersaing untuk podium," kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

"Saya memang cuba untuk menang tetapi terpaksa menerima keputusan ini. Apapun, masa saya akan tiba dan saya akan terus berusaha.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja saya, KBS, PSIC, Terengganu Inc dan RCB, serta semua penyokong yang mendoakan kejayaan saya"

Perlumbaan Pusingan 2 RBMRC 2025 dijadual berlangsung di Le Mans, Perancis pada 10 dan 11 Mei depan.