MASALAH Elektronik Rosakkan Peluang Pecco Bagnaia

Pelumba Ducati Lenovo, Pecco Bagnaia berdepan situasi yang tidak diingini pada Perlumbaan Sprint di Brno, Republik Czech

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/20/20251 min read

Pecco Bagnaia
Pecco Bagnaia

FRANCESCO Bagnaia berdepan nasib malang ketika Perlumbaan Sprint Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 berikutan apabila jenteranya didakwa memberikan amaran tekanan angin tayar yang salah berikutan gangguan elektronik.

Pada perlumbaan semalam, kedua-dua pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo itu kelihatan secara sengaja memperlahankan jentera mereka agar dapat dipotong oleh pelumba lain.

Taktik ini bertujuan untuk meningkatkankan kembali tekanan tayar depan agar tidak melanggar peraturan teknikal yang boleh membawa kepada penalti.

Bagnaia melakukan perkara demikian pada pusingan kelima, dengan tanggapan tekanan tayarnya di bawah had minimum.

Akibatnya, dia terpaksa melepaskan kedudukan kedua dan menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Lebih mengecewakan, dia bergegas masuk ke garaj Ducati dengan penuh kecewa, menyangka bakal dikenakan penalti.

Tetapi selepas siasatan data selepas perlumbaan menunjukkan sebaliknya—sistem elektronik pada jenteranya memberikan bacaan palsu. Sebenarnya, tekanan tayarnya sudah berada di paras yang ditetapkan sejak lap kedua lagi.

“Saya terima notis daripada panel meter yang mengatakan tekanan tayar saya di bawah had. Saya cuba lepaskan pelumba lain, tapi amaran tak hilang. Saya pasti akan kena penalti, tapi rupa-rupanya tiada siasatan terhadap saya,” kata Bagnaia.

Pemenang Perlumbaan Sprint, Marc Marquez turut menerima amaran tekanan tayar serupa dan terpaksa membiarkan pelumba Red Bull KTM, Pedro Acosta memotongnya bagi membolehkan tekanan tayarnya meningkat.

Bagaimanapun, sistem perlumbaan tersilap mengesan pelanggaran peraturan dan siasatan ke atas Marquez ditutup tanpa tindakan.

Bagnaia percaya masalah yang dihadapinya berpunca daripada penyelarasan sistem elektronik yang tidak sempurna sebelum perlumbaan bermula yang menyebabkan bacaan tidak tepat.

Sekalipun kecewa akibat kehilangan kedudukan podium, Bagnaia memilih untuk mengambil sisi positif yang menyaksikannya meraih petak utama buat pertama kali musim ini dan memperoleh banyak maklumat berguna selepas mengekori Marquez ketika perlumbaan.

“Aneh untuk dikatakan, tapi saya tetap gembira kerana buat kali pertama saya dapat bertarung untuk petak utama... Saya mula memahami lebih banyak tentang cara tunggangan saya,” katanya.