MASALAH Jentera Punca KIP 'DNF' Perlumbaan 1 WorldSSP Di Portimao
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/11/20241 min read


KHAIRUL Idham Pawi sekali lagi menamatkan perlumbaan dengan status 'DNF' atau Tidak Menamatkan Perlumbaan di Portimao - keputusan kedua dan berturut-turut buat pelumba Petronas MIE Racing Honda itu dalam kempen WorldSSP musim ini.
Tidak seperti di Most, Republik Czech, punca pelumba dengan julukan KIP itu tidak menamatkan perlumbaan bukan disebabkan kemalangan namun disebabkan masalah jentera.
"Saya malangnya berdepan dengan masalah jentera," kata KIP menerusi laporan pasukannya.
"Saya tidak dapat memahami apa yang silap pada awalnya, tetapi selepas beberapa pusingan sebelum perlumbaan nak berakhir, saya akhirnya terpaksa keluar daripada saingan."
Tidak mengulas lanjut mengenai punca masalah yang dihadapi terhadap jenteranya, KIP begitupun percaya pasukannya mampu melakukan sesuatu bagi menghadapi Perlumbaan 2 nanti.
"Ayuh lihat bagaimana kami boleh meningkatkan kepantasan kami sedikit dan mencatatkan keputusan yang baik pada perlumbaan 2 nanti."
Sementara itu, rakan sepasukan KIP, Kaito Toba berjaya mengutip dua mata berharga pada Perlumbaan 1 di Portimao selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-14.
Ini adalah kali kedua Toba dari Jepun berjaya mengutip mata selepas meraihnya pada Pusingan 3 di Belanda apabila menamatkan Perlumbaan 2 di tempat keenam.
Satu-satunya mata yang diperoleh KIP pula adalah pada perlumbaan pembuka tirai 2024 di Australia, Februari lalu.
