MASALAH Jentera Ranap Impian KIP Di Most, Adrian Huertas Menang Lagi

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20241 min read

KEMARAU pungutan mata pelumba negara, Khairul Idham Pawi dalam kempen WorldSSP berterusan selepas berdepan masalah jentera pada Perlumbaan 2 di Pusingan 6 WSBK 2024 hari ini di Most, Republik Czech.

Keputusan itu menyaksikan deretan tanpa mata pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu berterusan kepada 11 perlumbaan berturut-turut.

Sebagai rekod, kali terakhir bekas pelumba Moto3 dan Moto2 itu berjaya meraih mata adalah pada Perlumbaan 1 pusingan pembukaan WSBK di Australia.

"Saya memulakan Perlumbaan 2 dengan perasaan aneh dengan jentera sejurus saya keluar daripada kawasan pit," kata KIP yang menunggang jentera Honda CBR600RR.

"Saya memulakan perlumbaan tetapi pusingan demi pusingan saya merasakan yang prestasi saya menurun jadi saya memutuskan untuk memasuki pit pada pertengahan perlumbaan kerana amat sukar untuk menunggang.

"Memang mengecewakan kerana saya mahu cuba untuk memperbaiki kelajuan kami pada Perlumbaan 2, tetapi saya akan cuba untuk mengubah apa yang berlaku pada hari ini pada pusingan berikutnya.

"Terima kasih kepada semua orang atas kerja keras mereka."

Selain KIP, rakan sepasukannya Kaito Toba turut mengalami masalah jentera.

Perlumbaan 2 dimenangi pendahulu kejuaraan WorldSSP, Adrian Huertas (Aruba.it Racing WorldSSP) yang juga kemenangan berturut-turut buat pelumba Sepanyol itu di Most.

Stefano Manzi dari pasukan Pata Yamaha Ten Kate Racing meraih tempat kedua dan melengkapkan kedudukan podium adalah pelumba Barni Spark Racing Team Ducati, Yari Montella.

Pusingan 7 WSBK dijadual berlangsung di Algarve di Portugal pada 9 hingga 11 Ogos depan.