'MASALAH' KTM Belum Lagi Selesai - Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/6/20251 min read

PELUMBA bintang KTM, Pedro Acosta mengakui ujian rasmi MotoGP yang dijadual berlangsung di Jerez, Sepanyol pada hujung bulan ini berkemungkinan besar 'hari paling penting' buat pengeluar Austria itu.

Seperti kesemua pelumba KTM, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengharungi permulaan yang sukar pada saingan musim ini.

Selepas memperoleh lima kedudukan podium pada penampilannya sebagai 'rookie' musim lalu, Acosta ketika ini hanya mengumpul 16 mata selepas mengharungi tiga pusingan musim dan menghuni kedudukan ke-13 carta kejuaraan pelumba.

Ia berlaku disebalik prestasi baik yang diperoleh pada sesi kelayakan, ke-7 di Thailand, ke-5 di Argentina dan ke-4 di Amerika Syarikat tetapi kesemuanya tidak menghasilkan keputusan diharapkan.

Justeru, ujian sehari yang berlangsung selepas Grand Prix Sepanyol pada 28 April depan disifatkan Acosta penting buat mereka.

"Ia mungkin hari paling penting untuk kami pada musim ini. Kami perlu mencuba banyak perkara," kata Acosta mengenai ujian di Jerez itu memetik laporan Crash.net.

"Apabila bercakap mengenai diri saya, kami jauh lebih kompetitif berbanding tahun lalu ketika kelayakan. Ia bagus. Tetapi apabila kami pergi ke Perlumbaan Sprint, cengkaman secara tiba-tiba seperti (hilang).

"Apabila kami mempunyai cengkaman, mudah untuk menjadi kompetitif... Tetapi sukar untuk memahami mengapa ia menurun dari sudut prestasi di antara Q2 dan Perlumbaan Sprint."

Acosta dalam pada itu mengesahkan masalah yang dihadapi pasukan itu adalah gegaran tayar belakang.

"Apabila saya bercakap mengenai masalah, kurang atau lebih, saya akan bercakap mengenai gegaran," katanya.

"Ia adalah topik setiap kali saya memasuki 'box' pasukan. kami perlu mencari jalan penyelesaian tetapi ia sudah setahun seperti ini."