MASALAH Suspensi Depan Honda CBR600RR Rencat Prestasi KIP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/26/20241 min read

KHAIRUL Idham Pawi menjelaskan dia mengalami kesulitan dengan bahagian depan jenteranya, Honda CBR600RR ketika Perlumbaan 2 WorldSSP WSBK 2024 di Australia, semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ke-25, pelumba pasukan Petronas MIE Racing Honda itu memperoleh permulaan yang baik dan berjaya memintas beberapa pelumba di depannya.

Tetapi ia tidak mencukupi untuknya memburu tempat dalam kelompok pungutan mata atas kesulitan yang berlaku kepada jenteranya selain menyaksikan Perlumbaan 1 WorldSSP yang terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam.

Jadual perlumbaan 2 WorldSSP di Phillip Island itu terpaksa dirombak semula selepas berlaku tumpahan minyak di atas litar yang menyaksikan ia hanya berlangsung sebanyak 9 pusingan.

"Saya berdepan beberapa kesukaran dengan bahagian depan jentera. Saya fikir kami memperbaiki masalah yang berlaku dari sudut suspensi belakang tapi malangnya kami juga berdepan masalah dengan bahagian depan," kata pelumba kelahiran Perak itu.

Begitupun, KIP turut yakin yang pasukan itu memperoleh data yang berguna untuk mengharungi pusingan berikutnya dengan lebih baik.

"Ia baru pusingan pertama dan kami bekerja amat keras sepanjang minggu ini, belajar dan mengutip banyak data.

"Kami sudah tentu akan meneruskan kerja seperti ini sebagai persediaan untuk menghadapi Pusingan 2 di Barcelona."